Manila: Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) sedang mempertimbangkan kemungkinan memulangkan puluhan senjata api yang dirampas daripada 44 anggota polis komando yang terbunuh dalam operasi antikeganasan di Mamasapano, Maguindanao.

Menurut ketua perundingan damai MILF, Mohagher Iqbal, pertubuhan itu tetap komited mahu merealisasikan keamanan di selatan Filipina selepas menandatangani perjanjian dengan Manila tahun lalu.

“Kami sedang membincangkan kemungkinan menyerahkan semula senjata api kepada kerajaan dan ia adalah isu yang sangat sensitif.

“Keputusan mengenainya akan dibuat tidak lama lagi,” katanya semalam.

Bagaimanapun, Mohagher tidak menyatakan jumlah senjata api yang dirampas oleh MILF ekoran pertempuran sengit minggu lalu.

Anggota polis komando menceroboh wilayah dikawal MILF dengan alasan mahu memburu suspek militan kelahiran Malaysia, Zulkifli bin Hir atau lebih dikenali sebagai Marwan.

Dia adalah suspek utama serangan bom di Bali pada 2002 yang menyebabkan 202 orang maut.

Pihak berkuasa kemudian mengesahkan Marwan terbunuh dalam serangan di Mamasapano pada pada 25 Januari lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Februari 2015 @ 7:11 AM