Agensi

Manchester: Ashley Young berkata, pengurus Manchester United Louis van Gaal banyak membantunya ketika dia berusaha mencerahkan peluang untuk dipanggil mewakili skuad kebangsaan England.

Kali terakhir Young mewakili negaranya ialah ketika menentang Ukraine pada September 2013.

Tetapi, di bawah bimbingan Van Gaal, kelibatnya semakin kerap diperhatikan jurulatih England Roy Hodgson dan berkemungkinan besar namanya akan kembali disenaraikan untuk pertemuan menentang Lithuania dan Itali.

“Pengurus kami memang hebat,” kata Young. “Beliau memberikan anda keyakinan untuk bermain.”

Dia menambah: “Disebabkan kepercayaannya, saya membalas dengan beraksi baik di padang. Itulah yang saya pamerkan sepanjang musim ini.”

Young diturunkan sebagai pemain pertahanan serta pemain sayap sepanjang musim ini.

Van Gaal memilih untuk menggunakan khidmat bekas pemain Watford dan Aston Villa berusia 29 tahun itu di posisi berkenaan ketika menang 3-0 ke atas Tottenham hujung minggu lalu.

Hodgson turut berada di Old Trafford untuk melihat sendiri kemampuan salah seorang pemain terbaik United itu musim ini.

“Saya yakin akan dapat kembali menyarung jersi England,” kata Young.

“Saya selalu mahu mewakili negara. Adalah satu penghormatan untuk mewakili England dan saya harap sudah melakukan semua yang termampu untuk membolehkan nama saya kembali disenaraikan.

“Begitupun, saya akan tetap menumpukan perhatian kepada aksi kelab dan saya akan tunggu jika khidmat saya diperlukan pengurus England.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2015 @ 5:25 AM