London: Mauricio Pochettino mengakui beliau kehilangan kata-kata untuk menggambarkan kebolehan Harry Kane selepas penyerang itu mencerahkan peluang Tottenham Hotspur untuk melangkah ke Liga Juara-Juara musim depan.

Kane meledak dua gol ketika Spurs mengalahkan Queens Park Rangers 2-1 dan ia adalah jaringan ke-26 pemain itu dalam semua pertandingan. Mereka kini tiga mata di belakang Manchester United yang menduduki tangga keempat.

Penyerang itu gagal menjaringkan gol dalam tiga perlawanan sebelum ini tetapi kali ini, dia mempamer aksi menarik di depan pengurus England Roy Hodgson.

Bukan kali pertama Pochettino terpaksa mengharapkan jaringan penyerang itu untuk menang walaupun pengurus Spurs itu enggan bercakap mengenai peluang anak buahnya itu untuk mewakili England.

Beliau berkata: “Sukar untuk bercakap perkara buruk mengenai Harry. Aksinya hari ini membuktikan kekuatannya. Adalah hak Roy Hodgson untuk menentukan sama ada Harry layak mewakili England atau tidak tetapi kami semua gembira dengan persembahannya.”

Kane sendiri enggan bercakap mengenai peluangnya mewakili England pada kempen kelayakan Euro 2016 menentang Lithuania hujung bulan ini.

Penyerang itu berkata: “Saya hanya perlu terus melakukan aksi sebegini. Masih ada beberapa perlawanan sebelum rehat antarabangsa dan saya perlu memastikan dapat melakukan yang terbaik buat Spurs.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2015 @ 6:06 AM