London: Pemain tengah Manchester United Marouane Fellaini mendakwa dia menjadi ‘kambing hitam’ ketika kemerosotan pasukannya pada musim 2013-14.

Fellaini hadir ke Old Trafford bersama pengurus, David Moyes dari Everton dengan yuran perpindahan sebanyak £27.5 juta (RM145.9 juta) tetapi gagal memberi impak kepada kelab sehingga menduduki tempat ketujuh dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Pemain antarabangsa Belgium itu tidak menjaringkan sebarang gol dalam penampilan pertamanya dan menjadi sasaran kutukan penyokong lawan tetapi dia berjaya menunjukkan peningkatan selepas pengganti Moyes, Louis van Gaal mengambil alih.

Ditanya sama ada dia dijadikan korban atas kegagalan United di bawah bimbingan Moyes, pemain berusia 26 tahun itu mengakui hakikat itu.

“Saya tidak hilang kepercayaan terhadap diri sendiri. Dalam bola sepak, anda harus kuat secara mental. Kekuatan mental amat penting dan saya mempunyai kualiti ini, jadi saya boleh teruskan aksi.

“Keluarga membantu saya mengharungi perkara ini. Saya juga berada dalam pasukan kebangsaan Belgium untuk Piala Dunia dan saya bermain baik, begitu juga dengan pasukan. Keyakinan memang amat penting. Saya kembali selepas mendapat semula keyakinan.

“Pengurus (Van Gaal) meminta saya untuk terus bersaing jika mahu beraksi. Saya bersaing dan berlatih dengan gigih. Selepas mendapat peluang, saya cuba untuk menonjolkan diri serta beraksi dengan cemerlang,” katanya - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 November 2014 @ 5:10 AM