AKSI Lingard ketika   menentang  CSKA Moscow.
AKSI Lingard ketika menentang CSKA Moscow.
Agensi

London: Prestasi pemain kelahiran Warrington, Jesse Lingard meningkat secara mendadak di Manchester United selepas menerima tunjuk ajar barisan kejurulatihan dan dia membuat penampilan di peringkat senior pada perlawanan pembukaan musim 2014/15 menentang Swansea City.

Walaupun namanya disenaraikan di dalam skuad oleh David Moyes, pengendali yang dianggap benar-benar menyerlahkan bakatnya ialah Louis van Gaal yang memberikannya penampilan selaku pemain utama, tetapi malang baginya, kecederaan yang berlaku ketika baru 24 minit beraksi membataskan pergerakannya.

Dia pernah dipinjamkan ke Derby County pada Februari 2015 dan pemain muda itu tampil sebanyak 15 kali bersama Rams dan meledak dua gol ketika membantu skuad kendalian Steve McClaren itu mengetuai Liga Kejuaraan pada awal Mac.

Kemerosotan secara tiba-tiba pada hujung musim menjejaskan kempen mereka dan Derby gagal ke Liga Perdana apabila tewas di play-off.

Selepas melengkapkan pinjamannya di Pride Park, Lingard sekali lagi berusaha memikat Van Gaal untuk disenaraikan di dalam kesebelasan utama dan dia juga menjadi antara pemain paling berjaya di dalam skuad Bawah 21 Tahun England ketika kempen Kejohanan Eropah.

“Saya sentiasa mahu bermain untuk Manchester United dan ia masih lagi menjadi cita-cita saya,” katanya. “Saya sentiasa berhubung dengan Van Gaal (ketika dipinjamkan) dan saya akan tunggu apa tindak balasnya ketika kembali nanti.”

Kelibat Lingard masih dipandang tinggi di Old Trafford terutama selepas muncul salah seorang pemain Inggeris terbaik di dalam skuad Simpanan dan Bawah 21 Tahun. Dia pernah menjulang Piala FA Remaja dan kebolehannya yang melebihi pemain seusianya ialah dia mampu beraksi sama ada di bahagian sayap atau tengah.

Dia juga bijak menjaringkan gol dan kehadirannya sering kali menggusarkan benteng pertahanan lawan kerana lariannya yang pantas.

Dia seorang pemain yang suka bekerja keras dan ketika jelajah DHL 2012, dia membuktikan kemampuannya. Begitu juga dengan pertemuan Piala Liga menentang Newcastle serta Chelsea.

Pada hujung 2012, dia menyertai Leicester atas dasar pinjaman demi menimba pengalaman selaku kesebelasan utama tetapi kembali ke United tepat pada masanya untuk membantu pasukan kesayangannya itu memenangi banyak kejuaraan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 November 2015 @ 5:06 AM