KARATHU sedih jika Kelantan tersungkur ke Liga Perdana.
KARATHU sedih jika Kelantan tersungkur ke Liga Perdana.
Aziman Rosdi


BAHANG saingan Liga Super musim ini akhirnya sampai ke penghujung namun ia bukan membabitkan perebutan kejuaraan apabila Johor Darul Ta’zim (Johor DT) sudah menjulang trofi lebih awal.

Sebaliknya debaran lebih dirasai buat tiga pasukan T-Team, Sarawak dan Kelantan untuk mengelak daripada tersingkir ke Liga Perdana mengiringi Pulau Pinang yang jauh terperosok di dasar liga.

Kedudukan Kelantan, juara Liga Super 2011 dan 2012 lebih kritikal apabila menduduki tangga ke-11 dengan mengumpul 19 mata dan tiada pilihan selain menang ke atas Melaka United dalam aksi terakhir di Stadium Hang Jebat jika tidak mahu kembali ke kancah Liga Perdana sejak 2009.

Sarawak yang mengatasi Kelantan dengan kelebihan satu mata menanti kunjungan T-Team yang tetap mahukan keputusan baik andai mahu selamat biarpun kini meraih 22 mata selepas 21 perlawanan.

Kedudukan T-Team dan Kelantan seharusnya lebih selamat jika tidak dikenakan hukuman pemotongan tiga mata oleh Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) gara-gara masalah pendaftaran pasukan di awal musim.

Menurut jurulatih berpengalaman Datuk M Karathu, situasi Kelantan lebih kritikal untuk tersingkir ke Liga Perdana.

“Melihat kepada kedudukan sekarang memang Kelantan lebih kritikal. Walaupun mereka menang perlawanan terakhir minggu ini tapi kedudukan mereka turut bergantung kepada keputusan perlawanan antara Sarawak dan T-Team.

“Kelantan akan berdepan Melaka yang berada di prestasi terbaik sebelum liga berehat sebelum ini. Kelantan perlu mengharapkan keajaiban untuk kekal tapi dalam bola sepak keajaiban juga jarang berlaku,” katanya.

Karathu, 74, mengakui agak menyedihkan andai pasukan yang mempunyai rekod hebat seperti Kelantan tidak beraksi dalam kalangan pasukan elit.

“Saya pernah mengemudi Kelantan muncul juara Liga Super pertama pada 2011 dan Piala Sumbangsih tapi selepas enam tahun mereka bergelut. Mungkin ini disebabkan masalah dalaman pasukan dengan jurulatih dan pemain import bertukar ganti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2017 @ 5:16 PM