YANNICK N’Djeng (tengah).
YANNICK N’Djeng (tengah).
Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Bekas penyerang skuad kebangsaan Cameroon Yannick N’Djeng (gambar) bakal mewarnai Liga Malaysia (Liga-M) apabila disambar T-Team dalam misi memantapkan jentera serangan bagi saingan Liga Super dan Piala Malaysia.

Kemasukan pemain berusia 27 tahun itu menggantikan penyerang kelahiran Uzbekistan Farhod Tadjiyev yang gagal mempamerkan bisanya walaupun pernah muncul penjaring terbanyak T-Team musim 2015 sebelum digugurkan akibat kecederaan.

Penolong ketua jurulatih T-Team Mohd Azhari Salim berkata, pengambilan pemain kelahiran Yaounde, Cameroon itu dibuat pada hari terakhir jendela kedua perpindahan pemain dan berharap kehadiran pemain ketinggian 187 sentimeter itu mampu menyelesaikan ketumpulan jentera serangan.

“Sebelum ini kita mengharapkan Farhod sebagai peledak utama pasukan sebagaimana dibuktikan ketika beraksi dalam saingan Liga Perdana pada 2015, namun pemain itu gagal menyerlah musim ini membuatkan kita mengambil keputusan untuk mengikat N’Djeng.

“Harapan tinggi kami dengan kehadiran N’Djeng mampu menyelesaikan masalah ketumpulan jentera serangan dan seterusnya kami ingin melihat kelibat pemain itu muncul peledak berbisa dalam kancah liga dan Piala Malaysia,” katanya.

Selain pemain import baru itu, The Titans yang kini berada di tangga ketujuh liga dengan kutipan 16 mata sudah mengikat tiga pemain tempatan di posisi tengah - Mohd Asrol Ibrahim dari Terengganu, Syed Sobri Syed Mohamad (Melaka United) dan kapten MISC-MIFA Ooi Shee Keong.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2017 @ 4:33 AM