GUNALAN (tiga kanan) harap lima pemain yang mewakili negara tidak cedera.
GUNALAN (tiga kanan) harap lima pemain yang mewakili negara tidak cedera.
Aziman Rosdi


Kuala Lumpur: Kecederaan yang dialami pemain perancang Muhamad Nazmi Faiz Mansor sedikit menjejaskan persiapan juara bertahan Selangor bagi menghadapi separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu ini.

Pemain berusia 22 tahun itu dijangka tidak dapat diturunkan jurulatih K Gunalan susulan kecederaan di bahagian kepala yang dialami selepas terkena bola dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam, 1 Oktober lalu.

“Nazmi mengalami sedikit kecederaan di bahagian kepala dan sehingga kini dia dalam situasi 70-30. Kita tidak pasti sama ada dia dapat bermain pada separuh akhir kedua nanti.

“Dia pemain utama pasukan, sudah pasti ia sedikit menjejaskan tapi saya akan memikirkan pemain lain untuk menggantikan tempatnya,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Berita itu pasti memberi kelegaan buat T-Team yang mahu bangkit mengatasi defisit 1-2 di Shah Alam sebelum ini.

Selain Nazmi, skuad Red Giants juga dijangka terpaksa melupakan khidmat pemain import Mauro Olivi yang masih menjalani proses pemulihan.

Gunalan juga mengharapkan agar lima pemainnya yang bersama skuad kebangsaan bagi aksi menentang Afghanistan dalam aksi persahabatan antarabangsa malam tadi tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Persiapan pasukan ketika ini berjalan seperti biasa dan kami menunggu pemain yang bersama skuad kebangsaan kembali berlatih. Saya harap mereka tidak mengalami kecederaan apabila kembali bersama pasukan Rabu dan Khamis ini.

“Kami berdepan perlawanan penting, ia bukan mudah kerana kami hanya membawa bekalan kemenangan 2-1 ke sana. Kami tidak boleh bertahan sebaliknya kami perlu menyerang seperti yang kami pamerkan dalam pertemuan sebelum ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2016 @ 9:53 AM