Temerloh: Saingan pusingan pembukaan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2015 menyaksikan barisan pelumba senior melaungkan amaran awal untuk menjulang gelaran pada musim ini selepas Mohd Zamri Baba (gambar) mencatat masa terpantas pada sesi ujian masa kategori CP130 di Temerloh, Pahang, semalam.

Pelumba Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing itu mencatat masa masa 44.836s sambil seorang lagi pelumba berpengalaman yang juga juara dua kali kategori perdana, Ahmad Fazli Sham dari pasukan PETRONAS Yamaha Maju Motor muncul pelumba kedua terpantas dengan masa 44.846s diikuti rakan sepasukan, Mohd Taufiq Roslan dengan masa 44.996s.

Bagi Zamri, sasaran utamanya adalah untuk menebus kekecewaan musim 2014 selepas gagal mempamer prestasi konsisten akibat kecederaan kaki yang berulang termasuk tidak beraksi pada pusingan ketujuh di Teluk Intan, Perak dan pusingan 8 di Kangar, Perlis.

“Musim ini menyaksikan kehadiran lebih ramai pelumba termasuk pelumba yang pertama kali beraksi dalam kelas ini, jadi saingan pasti lebih sengit.

“Meskipun begitu, saya tidak melihat ia sebagai satu ancaman besar sebaliknya seronok kerana perlumbaan ini semakin mencabar dan dengan pengalaman yang kami ada pasti mampu menyerap segala tekanan,” jelas Zamri yang sekadar menduduki tangga kesembilan keseluruhan musim lalu.

Menjelaskan mengenai prestasi di Temerloh, Zamri berkata: “Saya gembira dengan keputusan hari ini di mana saya mencatat masa terpantas pada sesi latihan pertama dan ujian masa, saya harap ia akan berterusan dan meraih podium esok.

“Faktor fizikal mungkin memainkan peranan utama pada perlumbaan minggu ini. Saya tidak berhenti melakukan ujian kecergasan sepanjang tempoh rehat selain keadaan kaki yang sudah pulih sepenuhnya. Cuma cuaca sangat panas hingga mengganggu aksi pelumba dan ia menyebabkan tayar kurang mencengkam.”

Sementara itu, pelumba muda meningkat naik, Khairul Idham Pawi (Kozi Yam Honda Racing) membuktikan kekurangan pengalaman bukan alasan apabila mencatat masa terpantas dalam kategori CP115 dengan catatan masa 45.317s diikuti pemenang tempat ketiga keseluruhan 2014, Tengku Amirul Haffirudin (Motul Yamaha YY Pang) kedua, 45.430s dan Kasma Daniel Kasmayudin (PETRONAS Yamaha Maju Motor) ketiga, 45.826s.

Dalam saingan Wira, duo Kozi Yam Honda Racing, Mohd Shafiq Ezzariq dan Mohd Harith Farhan Baharin menguasai sesi ujian masa dengan masing-masing mencatat masa terpantas, 46.314s dan 46.370s. Pelumba Weststar Motorsport, Mohd Qhuwarismi Mohd Nasir mencatat masa ketiga terpantas, 46.701s.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2015 @ 5:05 AM