Kuala Lumpur: Mohd Zaqhwan Zaidi merancang strategi selamat untuk menghadapi perlumbaan akhir sekalipun berjaya mencatat masa terpantas pada sesi ujian masa CP130 Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Jempol, Negeri Sembilan, semalam.

Pelumba Givi Honda Yuzy Racing itu mencatat masa 49.853s pada pusingan ke-12, 0.680s lebih pantas daripada Mohd Iskandar Raduan (Yamalube AHM) 50.533s dan Ahmad Afif Amran (PETRONAS Yamaha-CKJ) ketiga 50.541s.

Meskipun menyedari gelaran juara keseluruhan bakal menjadi miliknya andai muncul juara atau sekurang-kurangnya di tangga kedua minggu ini, Zaqhwan tidak mahu insiden terjatuh dalam perlumbaan akhir di litar sama musim lepas berulang.

"Keadaan litar di sini agak licin, jadi saya perlu mengelak daripada terjatuh seperti yang berlaku musim lalu.

"Saya akan memilih strategi selamat dan tidak mahu terlalu terburu-buru untuk ke hadapan. Saya akan cuba kekal dalam kelompok utama dan dapat menamatkan perlumbaan dengan kutipan mata sebanyak mungkin di sini.

“Paling penting, saya perlu menamatkan saingan di hadapan Norizman Ismail atau berada tidak terlalu jauh darinya," kata Zaqhwan.

Selepas lapan pusingan, Zaqhwan kini selesa di tangga teratas dengan 145 mata manakala Norizman (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) kedua, 113 mata.

Sementara dalam saingan CP115 menyaksikan Elly Idzlianizar Ilias (M-Seki Liberty Honda Racing) muncul pelumba terpantas dengan catatan 50.579s diikuti Luqman Shakiemi Hakim (elf Koyoko KC Racing) kedua 51.066s dan Mohd Amirul Ariff Musa (Givi Honda Yuzy Racing) ketiga, 51.434s.

Dalam kategori Wira, Khairul Idham Pawi (Kozi Yam Honda Racing) yang sudah dinobatkan sebagai juara keseluruhan di Kangar, Perlis baru-baru ini terus mendominasi kelas itu apabila muncul pelumba terpantas 51.031s.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 November 2014 @ 6:01 AM