myMetro

Taiping: Md Akid Aziz (gambar) semakin menghampiri gelaran keseluruhan CP115 apabila mencatat masa kedua terpantas sesi ujian masa Pusingan 10 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2016 yang berlangsung di Taiping, Perak, semalam.

Pelumba rookie PETRONAS Yamaha Maju Motor itu mencatat masa terbaik 1 minit 01.874 saat untuk berada di belakang Azroy Hakeem Anuar (Givi Honda Yuzy Racing) yang mencatat masa terpantas pada minit terakhir saingan dengan catatan 1:01.833s.

“Azroy memang pantas hari ini namun kami beraksi dalam kumpulan yang berbeza pada minggu ini. Tapi, saya tidak bimbangkan Azroy kerana jika dia memenangi perlumbaan, keputusan itu tidak akan menggugat kedudukan saya. Apa yang lebih membimbangkan saya ialah dua pencabar saya, Tengku Amirul Haffiruddin (Motul Zeneos Yamaha YY Pang) yang ketiga terpantas (1:02.089s) dan rakan sepasukan, Mohd Haziq Fairues (1:02.390s),” jelas Akid.

“Saya hanya perlu mengutip lapan mata untuk menang, namun akan cuba untuk menaiki podium. Jika saingan sengit, saya akan cuba mempertahankan kedudukan sekurang-kurangnya dalam kalangan lima pelumba terbaik,” jelas Akid.

Sementara itu, juara keseluruhan CP130 2016, Kasma Daniel Kasmayuddin (PETRONAS Yamaha Maju Motor) terus mendominasi saingan apabila muncul pelumba terpantas dengan 1:00.078s, diikuti Mohd Zaqhwan Zaidi (Givi Honda Yuzy Racing, 1:00.816s) kedua dan Mohd Fitri Ashraff Razali (PETRONAS Yamaha-CKJ, 1:00.948s) ketiga.

Dalam kategori Wira, Saiful Azhary Muhamad (Idemitsu Kozi Yam Honda Racing) terpantas dengan 1:03.841s diikuti Md Helmi Azman (IUGB AFB Tech) dan Md Amirul Arif Ramlee (PETRONAS Yamaha) masing-masing dengan 1:04.048s dan 1:04.091s.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2016 @ 5:13 AM