PELUMBA PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Md Akid Aziz. FOTO Zulfadhli Zulkifli
PELUMBA PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Md Akid Aziz. FOTO Zulfadhli Zulkifli
Sukhairi Thani


KUALA LUMPUR: Md Akid Aziz sekali lagi membuktikan kehandalannya apabila muncul pelumba terpantas sesi kelayakan buat kali keempat berturut-turut dalam kelas CP150 pada Pusingan 7 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, Kuala Terengganu, Terengganu, hari ini.

Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor itu mencatat masa terbaik 40.440 saat di litar sepanjang 0.9 kilometer itu yang juga catatan terpantas sesi kelayakan buat kali kelima dalam tujuh pusingan perlumbaan setakat ini.

Juara CP115 musim 2017 yang juga juara keseluruhan Underbone 150 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2017 itu mengatasi catatan 40.502s yang dilakukan oleh Md Hafiz Nor Azman (PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing) manakala rakan sepasukan Akid, Kasma Daniel Kasmayuddin mencatatkan masa terbaik 40.526s.

Azroy Hakeem Anuar (Idemitsu Honda Givi Yuzy Racing) muncul pelumba terbaik kem Honda apabila muncul pelumba keempat terpantas dengan masa 40.552s.

Pendahulu keseluruhan, Ahmad Afif Amran yang menguasai kedua-dua sesi latihan bebas sebelah pagi muncul pelumba kelima terpantas dengan catatan 40.650s.

“Jentera berada dalam keadaan terbaik dan saya hanya melakukan tugas seperti biasa untuk memberikan yang terbaik ketika di litar. Keputusan ini memberikan saya keyakinan untuk merebut petak pertama ketika sesi Superpole esok dan seterusnya memburu kemenangan pertama saya dalam kelas perdana musim ini,” kata Akid.

Sementara itu, sesi kelayakan CP115 menjadi milik Tengku Amirul Haffirudin dari pasukan Motul Zeneos Yamaha YY Pang dengan masa 42.407s diikuti Md Haziq Md Fairueskedua, 42.572s dan Md Shafiq Ezzariq ketiga, 42.679s.

Dalam kelas WIRA KBS, Md Syarifuddin Azman (Idemitsu Kozi Yam Honda Racing) bakal memulakan perlumbaan dari petak pertama selepas mencatat masa terpantas dalam sesi shootout dengan masa 42.933s diikuti Md Faiz Zekri Sabri, 43.516s manakala Md Harith Haziq Zamri di petak ketiga dengan masa 43.548s.

KEPUTUSAN KELAYAKAN

CP150:

1 Md Akid Aziz (KUL) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 40.440s

2 Md Hafiz Nor Azman (PRK) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing 40.502s

3 Kasma Daniel Kasmayudin (JHR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 40.526s

CP115:

1 Tengku Amirul Haffirudin (TRG) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 42.407s

2 Md Haziq Md Fairues (SGR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 42.572s

3 Md Shafiq Ezzariq (SGR) Hi-Rev Rapido SCK Honda Racing 42.679s

SHOOTOUT

WIRA KBS:

1 Md Syarifuddin Azman (SGR) Idemitsu Kozi Yam Honda Racing 42.933s

2 Md Faiz Zekri Sabri (PNG) ONEXOX Racing Team 43.516s

3 Md Harith Haziq Zamri (SGR) SIC Junior Team AFB TECH Racing 43.548s

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Oktober 2018 @ 11:02 PM