AFIF catat masa terbaik 53.917s di Dataran Tanjung Emas, semalam.
AFIF catat masa terbaik 53.917s di Dataran Tanjung Emas, semalam.

Kuala Lumpur: Ahmad Afif Amran kembali menemui sentuhan apabila berjaya mencatat masa terpantas pada sesi ujian masa kategori CP130 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2015 di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor, semalam.

Pelumba PETRONAS Yamaha CKJ itu mencatat masa terbaik 53.917s, 0.588s di hadapan Norizman Ismail (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) 54.505s. Rakan sepasukan Afif, Mohd Fitri Ashraff Razali ketiga 54.506s.

Prestasi pemenang tempat ketiga keseluruhan musim lalu itu agak tidak menentu pada awal musim ini apabila gagal melayakkan diri ke Superpole dan menamatkan perlumbaan di tempat ke-12 pada pusingan pembukaan di Temerloh sebelum memperbaiki kedudukan dengan mencatat masa keenam terpantas pada sesi kelayakan di Batu Kawan.

Namun, agak malang apabila Afif gagal menamatkan perlumbaan di Batu Kawan dan kini menduduki tempat ke-18 senarai keseluruhan dengan hanya mengumpul empat mata.

“Saya mahu bangkit mengejar podium minggu ini. Saya tidak boleh tercicir banyak mata lagi andai mahu bersaing menduduki kelompok pelumba teratas,” jelas Afif.

“Saingan minggu ini memberikan sedikit kelebihan kepada saya kerana selain faktor jentera semakin baik, berlumba di litar baru juga menjadikan peluang lebih terbuka kepada mana-mana pelumba.

“Siapa cepat menguasai litar, dia mempunyai kelebihan ke atas pencabar lain. Tambah pula saya sukakan bentuk litar ini cuma perlu lebih berhati-hati kerana permukaan litar sedikit licin dan juga sempit,” katanya.

Mengulas prestasi sepanjang dua pusingan lalu, Afif berkata, keadaan jentera tidak begitu baik kerana gagal menemui pelarasan dikehendaki.

Malah jurutera pasukan pula perlu menyiapkan jumlah jentera agak banyak kerana berada dalam pasukan ‘factory’ seperti ini, selain CP130, Yamaha turut mempunyai pelumba dalam kategori CP115 dan Wira.

“Hanya pada pusingan kali ini kami berjaya menyiapkan jentera pada prestasi terbaik, mudah-mudahan jurutera dapat meningkatkan lagi keupayaan pada sesi Superpole dan perlumbaan akhir,” jelas Afif.

Sementara itu, dalam kategori CP115, pelumba PETRONAS Yamaha Maju Motor, Kasma Danniel Kasmayudin mempamerkan aksi memukau apabila mencatat masa terpantas 54.551s, catatan yang mampu meletakkan di kelompok lima pelumba terbaik kategori CP130.

Kasma muncul pelumba tunggal CP115 dengan catatan di bawah 55s manakala Tengku Amirul Haffirudin (Motul Yamaha YY Pang) kedua 55.152s manakala Ahmad Syukran Aizat ketiga, 55.491s.

Dalam saingan Wira, Mohd Qhuwarismi Mohd Nasir (Weststar Motorsport) melakukan masa terpantas 56.331s diikuti Amirul Hakim Mohd Rizal (Espada William Racing) kedua 56.667s dan Mohd Shafiq Ezzariq (Kozi Yam Honda Racing) ketiga, 56.881s.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2015 @ 8:39 AM