Manila: Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) menyiapkan laporannya mengenai tragedi Mamasapano pada 25 Januari lalu, namun ia tidak akan diserahkan kepada kerajaan, sebaliknya Pasukan Pemantau Antarabangsa (IMT).

Menurut Naib Pengerusi MILF, Ghazali Jaafar, laporan itu diproses sebelum diserahkan kepada wakil IMT yang diketuai diplomat Malaysia.

“Seperti yang anda tahu, IMT satu daripada mekanisme dipersetujui Manila untuk memantau pelaksanaan perjanjian gencatan senjata,” katanya kepada media semalam.

Pada 25 Januari lalu seramai 44 anggota komando polis Filipina mati dalam pertempuran dengan militan di Mamasapano.

Ketika itu mereka memburu dua militan paling dikehendaki dan hanya seorang daripadanya - Zulkifli Hir atau lebih dikenali sebagai Marwan - dapat dibunuh.

Komando polis itu kemudian diserang militia tempatan.

Manila menuduh MILF dan Pejuang Pembebasan Islam Bangsamoro bertanggungjawab.

MILF menafikan tuduhan itu.

Ghazali berkata, laporan itu akan diserahkan kepada pihak ketiga kerana ia adalah protokol rundingan damai yang dibantu Kuala Lumpur.

Minggu lalu, Pengerusi MILF, Murad Ebrahim berkata, nama pejuang kumpulan itu yang terbabit dalam pertempuran di Mamasapano akan dinyatakan dalam laporan berkenaan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2015 @ 5:18 AM