AFP

Manila: Jabatan Kehakiman Filipina semalam mengesyorkan supaya 90 pejuang pemisah Islam dikenakan tuduhan bunuh walaupun tindakan seumpama itu mampu menjejaskan proses kedamaian diusahakan Presiden Benigno Aquino.

Jabatan itu berkata, pejuang terbabit boleh didakwa bagi kejadian 25 Januari lalu yang mengakibatkan 44 komando polis maut di Mamasapano.

“Tidak syak lagi, memang ia satu pembunuhan,” kata laporan itu.

Menurutnya, anggota Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) - yang bersetuju untuk mengadakan gencatan senjata dengan kerajaan tahun lalu - serta kumpulan bersenjata Muslim lain bersekongkol membunuh komando berkenaan yang melakukan misi di selatan negara itu.

Laporan itu mampu menjejaskan proses damai kerajaan dengan MILF yang mempunyai keanggotaan 10,000 orang yang diharapkan dapat menamatkan perjuangan menuntut pemisahan yang dimulakan empat dekad lalu dan meragut kira-kira 120,000 nyawa.

Ringkasan siasatan Jabatan Kehakiman mendapati MILF dan kumpulan Muslim lain menyerang komando berkenaan walaupun mengetahui mereka polis.

Selain itu, mereka dituduh terus menembak anggota terbabit walaupun ada yang mengangkat tangan tanda menyerah kalah.

“Selepas kejadian tembak-menembak itu, anggota MILF menyeberangi sungai ke ladang jagung berhampiran untuk membunuh anggota yang masih hidup,” kata laporan itu.

Jabatan Kehakiman berkata, nama saksi dan suspek tidak didedahkan supaya tidak menjejaskan proses penangkapan.

Bagaimanapun, pada masa sama ia menganggap siasatan lanjut perlu dilakukan membabitkan dua dakwaan iaitu anggota polis membunuh orang awam beragama Islam, selain Amerika Syarikat (AS) juga memainkan peranan dalam serangan itu.

Panel kerajaan mengharapkan perjanjian damai dapat dicapai dengan MILF sebelum Aquino melepaskan jawatannya tahun depan.

Ia kini meneliti laporan itu dan akan memberi maklum balas sedikit masa lagi.

MILF sebelum ini menegaskan tidak akan menyerahkan pejuangnya yang dikehendaki berhubung kejadian itu, walaupun berdepan tuduhan bunuh.

“Kami menegaskan pejuang yang terbabit dalam kejadian Mamasapano itu sekadar mempertahankan diri. Pada kami, mereka tidak melakukan sebarang jenayah,” kata naib pengerusi MILF Ghazali Jaafar sebelum ini.

Aquino sebelum ini berharap dapat meluluskan undang-undang yang mewujudkan kawasan pemerintahan autonomi bagi golongan minoriti Islam negara itu - isu utama dalam perjanjian damai - sebelum tempoh perkhidmatannya tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2015 @ 7:34 AM