Manila: Pejuang Pembebasan Islam Bangsamoro (BIFF) semalam menegaskan, mereka tidak akan memulangkan senjata api yang dirampas daripada anggota komando polis yang terkorban dalam pertempuran di Mamasapano.

Sebaliknya, jurucakap BIFF, Abu Misri Mama berkata, senjata itu mungkin akan digunakan untuk menentang pasukan keselamatan kerajaan.

“Kami tidak bukan meminjam senjata ini.

“Ia kekal sebagai harta rampasan perang dan akan digunakan apabila perlu,” katanya dalam satu kenyataan.

Isu senjata api berkenaan menjadi antara ketegangan utama di antara Manila dan pejuang Islam di selatan Filipina selepas tragedi di Mamasapano pada 25 Januari lalu.

Dalam pertempuran di antara polis dan pemberontak, 44 orang anggota keselamatan maut.

Manila menuduh Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) sebagai dalang serangan namun dinafikan pertubuhan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Februari 2015 @ 5:04 AM