Manila: Pakar bom Jemaah Islamiyah, Abdul Basit Usman dilaporkan berada dalam perlindungan Pejuang Pembebasan Islam Bangsamoro (BIFF) ketika tentera kerajaan melancarkan serangan ke atas kumpulan itu.

Ketua Perhubungan Awam Tentera Filipina, Harold Cabunoc berkata, laporan risikan menunjukkan Abdul Basit dikawal dua kumpulan bersenjata BIFF.

“Satu daripadanya adalah kumpulan diketuai Mohammad Ali Tambako dari Mamasapano.

“Dia ialah ketua BIFF yang menyertai serangan ke atas komando polis ketika pihak keselamatan memburu Abdul Basit dan Marwan pada 25 Januari lalu,” katanya.

Marwan adalah warga Malaysia yang bernama asal Zulkifli Hir.

Dia bagaimanapun ditembak mati dalam operasi berkenaan.

Namun, seramai 44 anggota polis elit mati ditembak.

Komando polis kemudian diserang pasukan bersenjata dan Manila menuduh BIFF dan Barisan Pejuang Islam Moro (MILF) sebagai dalang.

MILF menafikan tuduhan itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 7:13 AM