Manila: Pengerusi Jawatankuasa Senat, Senator Ferdinand Marcos Jr menggesa Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) memulangkan senjata api dan peralatan peribadi milik 44 komando yang terkorban dalam pertempuran dengan pemberontak Islam sebagai langkah untuk membina semula keyakinan terhadap kumpulan itu.

Katanya, sejak pertumpahan darah berlaku di Mamasapano, Maguindanao minggu lalu, keyakinan antara Manila dan MILF mula terhakis.

Untuk mendapatkan perdamaian, katanya, MILF perlu mengembalikan kepercayaan itu dengan memulangkan barangan komando terbabit kepada kerajaan.

“MILF juga perlu akan membantu kerajaan menangkap Basit Usman, iaitu penjenayah berprofil tinggi yang dikehendaki dalam operasi itu,” katanya.

Minggu lalu seramai 44 komando polis terbunuh selepas mereka memasuki kawasan MILF tanpa sebarang makluman awal.

Menggunakan alasan memburu militan, pencerobohan itu mengundang pertempuran sengit antara kedua-dua pihak.

Tidak dapat dipastikan berapa ramai anggota MILF terbunuh atau cedera.

MILF dan Manila sebelum ini dalam peringkat akhir memeterai perjanjian damai bagi menamatkan persengketaan di selatan Filipina sejak beberapa dekad lalu.

Marcos berkata, dia bimbang terhadap masa depan perjanjian damai antara Manila - MILF yang ditandatangani di Kuala Lumpur sebelum ini. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Februari 2015 @ 6:18 AM