LONG Thien Shih sewaktu majlis perasmian pameran solonya yang ke-8.
LONG Thien Shih sewaktu majlis perasmian pameran solonya yang ke-8.
Oleh Siti Salmiah A Hamid


Peminat pelukis tersohor negara, Long Thien Shih berpeluang untuk melihat kar­yanya dipamerkan di Galeri 2B, Balai Seni Visual Negara, Kuala Lumpur.

Pameran solo Long Thien Shih-Sepanjang Zaman membawa penonton menyusuri 100 karya istimewa yang sebahagian besarnya menampilkan karya di awal pembabitannya sehingga yang terkini.

Karya seperti Dead Soul Is Laughing At Us, Bar Coded Man, How Many More Will It Take dan Delusion antara karya yang menjadi tarikan utama dalam kemunculan beliau ini.

Selain itu, karya seperti Joy Of Living mengisahkan suasana dan watak masyarakat desa manakala karya Run Tree Run memaparkan ciri-ciri imaginasi yang menarik golongan muda untuk menghayati maksud sebenar.

Artis kontemporari ber­usia 68 tahun itu memiliki banyak pengalaman seni seawal usia 15 tahun dan beliau mempamerkan lukisan cat minyak dan cat air yang me­ngisahkan penduduk dan suasana masyarakat setempat dalam gaya pasca impresionis.

Beliau pernah menerima hadiah kedua dalam Pertandingan Bakat Muda pada 1960 dan hadiah pertama tahun berikutnya anjuran Majlis Seni Malaya.

Long Thien Shih dikenali dalam kalangan artis kontemporari generasi awal menerusi kegemarannya yang menggunakan subjek dan tema berkisar erotisme, alam sekitar di samping pemerhatian teliti beliau mengenai budaya dan politik tempatan serta antarabangsa.

Orang ramai dijemput hadir ke galeri yang dibuka pada setiap hari mulai jam 10 pagi sehingga 6 petang. Masuk adalah percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Oktober 2014 @ 5:00 AM