London: Manchester United akan tampil bagi perlawanan Liga Perdana menentang Chelsea, Ahad ini dengan keghairahan mahu membuktikan mereka mampu bersaing di peringkat tertinggi sekali lagi dan Luke Shaw tidak sabar bertemu pendahulu liga, kelab yang disokongnya ketika remaja.

Louis van Gaal diberi tugas memastikan kedudukan penamat ketujuh musim lalu hanya satu kejutan sementara buat juara Liga Perdana 13 kali itu dan kini sudah mendapat rentak memuaskan pada permulaan kariernya.

Bagaimanapun, bagi pemain baru seperti Angel di Maria, Radamel Falcao, Ander Herrera, Daley Blind, Marcos Rojo dan Shaw, ini ujian terbesar ketika menyarung jersi United.

Ketika Chelsea mendahului lima mata di puncak liga selepas tujuh menang dan sekali seri daripada lapan perlawanan awal EPL, semua mata tertumpu ke Old Trafford bagi satu daripada perlawanan terbesar musim ini.

"Ia perlawanan yang besar. Anda boleh katakan ia satu daripada pertembungan terbesar dalam dunia bola sepak dan ramai yang akan menontonnya di kaca TV," ujar Shaw.

"Tidak banyak perlawanan lebih besar berbanding perlawanan ini dan itulah sebabnya saya amat berharap dapat diturunkan. Saya mahu membuktikan apa yang boleh saya lakukan dalam perlawanan sebegini."

Pertahanan kiri England berusia 19 tahun itu mengambil sedikit masa menyesuaikan diri di Old Trafford selepas berpindah dari Southampton pada hujung musim dan kecederaan hamstring menjejaskan perkembangannya.

Namun Shaw sudah beraksi dalam tiga perlawanan terakhir dan mempamerkan bakat serangannya ketika menang ke atas West Ham dan Everton di gelanggang sendiri sebelum sekali lagi tampil ketika seri dengan West Brom di laman lawan.

Shaw menegaskan United masih belum dapat menyaksikan persembahan terbaik selepas mengalami peningkatan mendadak di Southampton sebelum muncul pemain termuda tampil pada Piala Dunia di Brazil tahun ini.-Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Oktober 2014 @ 5:00 AM