SEPANG: Polis hari ini menjelaskan penyebaran maklumat sejak semalam kononnya terdapat bom berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sehingga hampir mencetuskan rasa panik adalah palsu.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, Asisten Superintenden Mohd Iqbal Ibrahim ketika ditanya pemberita di sini mengenai penyebaran maklumat berkenaan mengesahkan bahawa tiada sebarang insiden berkaitan bom dilaporkan di kawasan KLIA semalam.

"Tidak ada bom dekat KLIA semalam. Perkara itu tidak benar," katanya yang menyedari maklumat berkenaan yang tersebar luas melalui rangkaian media sosial.

Menurut maklumat yang disebarkan melalui aplikasi Whatsapp sejak semalam kononnya terdapat sebutir bom berhampiran KLIA dalam radius (lingkungan) 30 kilometer.

Namun gambar yang disertakan bersama maklumat tersebut menunjukkan gambar pas pekerja seorang individu lelaki petugas MASKargo yang bernama 'Bom'.

Terdahulu pada majlis hari ini, seorang pelukis terkenal China, Chen Shijie menyampaikan surat penghargaan kepada Mohd Iqbal atas kejayaan menemui semula enam lukisan beliau yang bernilai RM1.5 juta pada Disember lalu.

"Saya ucapkan terima kasih kepada sahabat saya dari IPD Sepang terutamanya ASP Mohd Iqbal atas kejayaan mereka memperoleh semula gambar bersejarah ini. Saya hargai kecekapan polis Sepang," katanya.

Mesej Shijie disampaikan dalam bahasa Inggeris oleh rakannya rakyat Malaysia yang hanya ingin dikenali sebagai Teng, 65.

Selain Mohd Iqbal, turut menerima surat penghargaan daripada Shijie ialah Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang Supt Zaldino Zaludin.

Pada 6 Disember lalu, enam lukisan berharga RM1.5 juta karya pelukis terkenal dari China itu yang dilaporkan hilang di KLIA pada 20 Nov lepas ditemui semula di rumah di Damansara.

Penemuan semula itu membawa kepada penahanan lapan individu, termasuk seorang pemilik galeri bergelar Datuk, di sekitar Kuala Lumpur dipercayai mempunyai kaitan dalam kes kehilangan lukisan itu.

Kesemua karya Shijie adalah unik kerana ia berkisar pemandangan gunung tertinggi di dunia iaitu Gunung Everest di mana setiap lukisan dilukis pada ketinggian berbeza. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2015 @ 7:10 PM