RAINBOW Windmill and Swing antara lokasi menarik untuk melaram baju raya anda.
RAINBOW Windmill and Swing antara lokasi menarik untuk melaram baju raya anda.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

JIKA anda mencari tempat instagrammable bagi memperagakan pakaian raya anda, ada 10 tempat menarik di sekitar Selangor untuk melaram Outfit-Of-The-Day (OOTD).

Antara lokasinya, Rainbow Windmill and Swing di Sekinchan, laluan Seni Pekan Lama yang berdekatan dengan Masjid Raja Lumu, Kuala Selangor dan Taman Dragonfly @ Eco Grandeur di Kuala Selangor.

Rainbow Windmill and Swing di Sekinchan misalnya bukan lokasi yang asing bagi penduduk setempat, malah ia dianggap sebagai salah satu tarikan pelancongan yang terkenal di Sabak Bernam.

Selain dikelilingi alam semula jadi, kawasan itu juga memiliki banyak tempat bergambar menarik seperti kincir angin pelangi, tangga yang berwarna-warni dan buaian unik berlatarkan pemandangan sawah padi yang menghijau.

Bagi yang meminati lukisan dan seni grafiti, anda boleh berkunjung ke laluan Seni Pekan Lama yang berdekatan dengan Masjid Raja Lumu, Kuala Selangor untuk bergambar dengan pakaian raya masing-masing.

Laluan berkenaan menampilkan banyak lukisan yang dilukis di kedua-dua sisi lorong dan beberapa mural menarik di situ dihasilkan pelukis seni halus Universiti Teknologi Mara (UiTM), cerakcarakita.

Pengunjung dan peminat seni tidak akan kecewa apabila mereka mengambil gambar OOTD hari raya di sini, kerana ada lebih daripada 15 lukisan mural menarik di sekitar dinding bangunan lama dan diserikan lagi dengan laluan pejalan kaki yang berwarna-warni.

PEMANDANGAN menarik di Taman Dragonfly @ Eco Grandeur yang terkenal dengan Eco Bridge.
PEMANDANGAN menarik di Taman Dragonfly @ Eco Grandeur yang terkenal dengan Eco Bridge.

Bagi pencinta alam semula jadi juga, jangan ketinggalan membawa keluarga melaram baju raya di Taman Dragonfly @ Eco Grandeur yang terkenal dengan jambatan unik, dikenali sebagai Eco Bridge.

Taman yang terletak di Puncak Alam itu mempunyai lebih daripada 2,000 anak tangga dan menawarkan banyak lokasi cantik untuk gambar OOTD Aidilfitri anda.

Ia dibuka dari jam 10 pagi hingga 8 malam dan menyediakan pelbagai tarikan lain termasuk taman permainan kanak-kanak, pusat kecergasan, padang bola keranjang dan padang futsal.

Dalam pada itu, jika tidak mahu memandu jauh, anda boleh berkunjung ke PJ Street Art Lane di Petaling Jaya.

Ada beberapa lorong yang dihias dengan lukisan dan mural menarik untuk dijadikan latar belakang gambar raya anda.

Ia memaparkan motif tradisional Melayu, Cina dan India yang juga sesuai untuk gambar Aidilfitri anda.

Pengunjung bagaimanapun disarankan datang pada hujung minggu bagi mengelakkan kepadatan tempat letak kereta yang disebabkan waktu perniagaan pada hari bekerja.

Selain itu, Bandar Baru Salak Tinggi (BSST) Walk juga adalah salah satu lorong seni mural yang popular bagi pelawat dan pelancong yang mahu mengambil gambar OOTD sempena Aidilfitri ini.

Ada pelbagai lukisan besar yang menggambarkan sejarah dan budaya di Sepang termasuk Litar Antarabangsa Sepang, Jeti Penambang Sungai Pelek, Bukit Pelandok, Pantai Bagan Lalang, Lapangan Terbang KLIA Sepang dan Kampung Orang Asli Bangkong Bukit yang menghiasi lorong berkenaan.

Lebih istimewa, lorong itu juga diubah menjadi pasar seni pada hujung minggu, di mana beberapa artis tempatan membuka gerai dan menjual barang antik termasuk karya seni kepada pengunjung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 6:31 AM