LAPORAN Harian Metro mengenai merosakkan mural barisan pemimpin negara.
LAPORAN Harian Metro mengenai merosakkan mural barisan pemimpin negara.
Samadi Ahmad

RAKAMAN kamera litar tertutup (CCTV) membabitkan kejadian menconteng mural pemimpin negara di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12 ,Shah Alam sudah dirujuk kepada pakar profesional untuk diteliti dan mengenalpasti identiti suspek kejadian.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, polis mengambil masa menyelesaikan kes itu berikutan kualiti rendah rakaman video CCTV itu sekaligus menyukarkan pihaknya mengecam wajah suspek.

Beliau berkata, rakaman gambar itu menjadi pecah dan tidak jelas apabila imej dibesarkan serta sukar untuk mengecam wajah suspek.

"Kes ini masih dalam siasatan dan pihak polis masih melengkapkan kertas siasatan kerana tidak banyak CCTV dipasang di lokasi kejadian. Malah keadaan persekitaran semasa insiden itu juga sangat gelap.

"Polis akan menghantar rakaman CCTV itu kepada pihak profesional untuk mendapatkan imej lebih jelas bagi menentukan identiti suspek," katanya selepas menghadiri Majlis Serah Tugas Ketua Polis daerah KLIA antara Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah dan penggantinya Asisten Komisioner Imran Abd Rahman di Ibu Pejabat Polis Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang di sini, semalam.

Asisten Komisioner Imran Abd Rahman sebelum ini menjawat jawatan Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dan Pengerusi PERKEP Kontinjen Selangor, Roshafizah Abd Halim.

Pada 20 Julai lalu, media melaporkan tindakan dua wanita dipercayai dalang yang merosakkan mural barisan pemimpin negara.

Rakaman video berdurasi dua minit 20 saat itu memaparkan sebuah kereta diletakkan di sebelah lorong lukisan mural berkenaan, sebelum kelibat dua individu terbabit muncul melakukan vandalisme.

Mereka bertindak menconteng kata-kata kesat terhadap gambar pemimpin negara, termasuk Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sebelum beredar.

Susulan vandalisme itu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memadam semua mural dengan mengecat semula dinding berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 4:59 PM