Kepulangannya ke pangkuan keluarga selepas 10 tahun terpisah membuatkan perasaannya tidak menentu. Ini kerana amanat yang ditinggalkan oleh arwah ibu menyebabkan dia terpaksa menagih semula kasih yang lama ditinggalkan.

Edlynn Jasmin, berdarah kacukan Melayu, Inggeris dan Cina adalah seorang gadis yang sangat bergaya dan mencintai dunia tarian. Namun, segala-galanya harus dilupakan selepas dia menjejakkan kaki ke vila mewah milik ayahnya. Ini kerana dia perlu mengubah penampilan semata-mata ingin menjadi individu berbeza. Tujuannya cuma satu, ingin menagih semula kasih yang sudah lama ditinggalkan.

Di vila mewah itu, misinya bermula. Dia cuba merapatkan semula hubungan dengan ayah dan dua orang abangnya. Namun, apa yang berlaku tidaklah seindah yang dibayangkan. Kehadirannya seakan-akan tidak diperlukan. Malah, kewujudannya langsung tidak diendahkan. Jelas dia memang dipulaukan oleh keluarga kandung sendiri.

Lama-kelamaan hati Edlynn mula berbelah bahagi. Dia mula goyah. Amanat ibunya sedikit demi sedikit mula dilupakan. Padanya untuk apa dia mengejar pada yang tidak sudi? Kenapa pula dia harus berubah semata-mata untuk insan yang langsung tidak menghargai dirinya? Sudah tiba masanya untuk dia tunjuk siapa dirinya yang sebenar. Biar semua terkejut. Biar semua makan hati. Dia bukan gadis lemah yang hanya mampu menelan apa saja perkara yang menghiris perasaannya. Akhirnya apakah yang berlaku kepada Edlynn kesudahannya hanya di dalam novel Cinta Ada Di Sini.

INFO

- Judul: Cinta Ada Di Sini

- Penulis: Sha Ibrahim

- Penerbit: Kaki Novel

- Harga: RM40

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2015 @ 11:10 AM