ANTARA babak menarik.
ANTARA babak menarik.
LAKONAN Izzue dan Nora sebagai pelajar sekolah.
LAKONAN Izzue dan Nora sebagai pelajar sekolah.
ANTARA babak menarik.
ANTARA babak menarik.
GHAZ berbincang dengan Adi Putra dan Nora Danish.
GHAZ berbincang dengan Adi Putra dan Nora Danish.
ADI Putra bawa watak ustaz dengan berkesan.
ADI Putra bawa watak ustaz dengan berkesan.
Oleh Norhayati Nordin


Selepas karya seperti Ombak Rindu, Lagenda Budak Setan, Suamiku Encik Perfect 10! dan Pilot Cafe diadaptasi ke filem menemui penonton di pawagam, kini tiba pula giliran Suami Aku Ustaz untuk ditayangkan.

Filem hebat gandingan serasi pelakon Adi Putra dan Nora Danish itu menemui penonton di seluruh pawagam tanah air mulai 14 Mei ini. Barisan pelakon lain pula seperti Izzue Islam, Jue Aziz dan Betty Rahmad.

Tidak ketinggalan, turut membintangi filem adaptasi novel terlaris nukilan Hannah Dhaniyah ini ialah pelakon Razak Ahmad, Liza Abdullah, Norman Hakim dan Kamaliah Mat Dom yang bergenre drama dan cinta.

Diarahkan secara bersama Ghaz Abu Bakar dan Adi yang kali pertama turut bertindak sebagai sutradara layar perak, apa yang boleh dikatakan filem ini cukup rencah, rasa dan emosinya. Bahkan, lakonan Nora cukup mantap.

Siapa sangka wanita berusia 33 tahun dan ibu kepada seorang anak itu berjaya melakonkan watak gadis remaja belasan tahun dengan berkesan. Nora tidak menghampakan penonton dengan watak Alisa.

Meskipun agak mencabar sebagai Alisa, namun Nora membuktikan kemampuan lakonannnya untuk watak remaja berusia 17 tahun yang memberontak akibat dipaksa berkahwin dengan lelaki matang tanpa rela.

Menyaksikan pratonton filem terbitan Karya Seni Production Sdn Bhd yang juga penerbit novel Suami Aku Ustaz ini, tak dinafikan garapan dan olahannya cukup memuaskan hati. Ia menarik ditonton dari mula hingga akhir cerita.

Berbicara lanjut mengenai filem ini, Adi mewakili Ghaz yang tidak hadir pada pratonton itu berkata, sebagai pengarah bersama, tak dinafikan perasaannya kini agak gemuruh untuk mengetahui pandangan penonton.

“Apatah lagi, filem ini sudah disimpan hampir dua tahun untuk menunggu sehingga tarikh kemuncak tayangannya di seluruh pawagam pada 14 Mei ini. Jadi, saya fikir tayangan filem ini memang ditunggu-tunggu penonton.

“Bukan hanya pada kalangan penggemar filem tempatan, tetapi paling utama pada pembaca novel ini. Saya pasti mereka (pembaca novel) pun teruja untuk menyaksikan hasil karya ini ditayangkan di pawagam,”katanya.

Adi yang menjadi gandingan serasi Nora menerusi drama Tentang Dia di TV3 beberapa tahun lalu ketika mengulas mengenai impak filem itu berkata, meskipun karya itu sudah diperap agak lama, tetapi penonton masih setia menunggu.

Bahkan, bagi penonton yang ternanti-nantikan kemunculan gandingannya bersama Nora, Adi menyifatkan menunggu itu adalah kemanisan kerana katanya, kalau kerap ditemukan mungkin penonton akan bosan.

“Jadi, saya berasakan ini adalah masanya yang sesuai dan mampu membuat penonton berkobar-kobar menunggu gandingan semula saya bersama Nora di layar perak. Saya yakin dengan impak itu.

“Bagi saya, sesekali gandingan kami bersama ditonton biar ada kesannya. Dalam soal ini, saya yakin penonton akan lebih tertarik menyaksikan garapan olahan cerita yang dihasilkan dengan teliti dan kemas,” katanya.

Berkongsi pula pengalamannya di bangku pengarahan, Adi berkata, dia hanya terbabit dalam 20 hingga 30 peratus saja untuk tanggungjawab itu. Ujarnya, apapun Ghaz adalah pengarah utama filem Suami Aku Ustaz.

Bercerita mengenai kepuasan, Adi berkata kalau ikutkan ulasan pembaca novel itu pasti ia menjurus kisah yang ringkas mengenai kehidupan seorang remaja. Jadi, katanya, dia tidak boleh ambil 100 peratus jalan cerita asal.

“Namanya pun karya filem adaptasi, jadi semestinya saya perlu teliti dalam pengolahan cerita yang menerapkan rasa dan realiti. Kalau mengikut novel dibaca, ia lebih kepada khayalan yang terlintas di fikiran.

“Jadi, dalam garapan filem, rasa dalam khayalan itu dikurangkan. Bahkan, dengan memuatkan muzik dan beberapa babak yang ditambah, barulah ada percaturan rasa berbeza dan pasti menarik hati penonton,” katanya.

Adi berkata, penambahan babak baru dibuat pun tidak banyak iaitu 10 hingga 20 peratus saja sekadar menambah cita rasa dalam penceritaan. Menurut Adi, dari aspek itu baru ada cabarannya sebagai pengarah.

Sinopsis filem Suami Aku Ustaz

Disebabkan status anak tunggal dalam keluarga menyebabkan Alisa (Nora) dipaksa bernikah dengan abang sepupunya, Hafiz (Adi) yang juga seorang ustaz sebelum ibu dan bapanya pergi mengerjakan haji.

Bertitik tolak pada usia remaja dan Alisa juga masih bersekolah membuatkan dia memberontak dengan keputusan dibuat. Alisa, seorang gadis kampung yang lasak dan kasar tidak berpuas hati tindakan ibu bapanya.

Ustaz Hafiz yang tahu perkahwinannya dengan Alisa hanya sekadar memikul tanggungjawab di atas kepercayaan keluarga gadis itu kepadanya untuk menjaga Alisa sepakat merahsiakan pernikahan itu.

Bertugas sebagai guru agama di sekolah Alisa me–nyebabkan Ustaz Hafiz sangat berhati-hati dalam tingkah lakunya supaya rahsia disimpan tidak diketahui orang lain. Perkara sama turut dilakukan Alisa..

Bagaimanapun, Alisa yang bersahabat baik dengan Johan (Izzue) dan Wati (Betty) sentiasa mengelak dengan pelbagai alasan apabila rakannya sering bertanya sejauh mana hubungan Alisa dengan Ustaz Hafiz.

Sikap membrontak Alisa terhadap perkahwinannya dengan Ustaz Hafiz berterusan. Namun, ternyata Ustaz Hafiz seorang yang sabar. Alisa pula terpaksa berhadapan dengan pelbagai konflik demi merahsiakan status dirinya.

Mampukah Alisa dan Ustaz Hafiz terus merahsiakan hubungan sebenar mereka? Sejauh manakah rahsia yang tersimpan kemas itu selamat dan tidak terbongkar? Bahkan, tidakkah Alisa menyayangi suaminya?

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2015 @ 12:23 PM