SITI Zuryani menjadi usahawan contoh mengusahakan ternakan ayam pedaging.
SITI Zuryani menjadi usahawan contoh mengusahakan ternakan ayam pedaging.
PERSEKITARAN reban ayam yang bersih.
PERSEKITARAN reban ayam yang bersih.
Oleh Mohd Sabran Md Sani


Siapapun akan kagum melihat kerja kerasnya membangunkan ladang ayam di tanah berkeluasan 0.8 hektar.

Dengan keadaan fizikal yang kurang sempurna berbanding insan lain, dia dianggap ‘wanita hebat’ dan mengagumkan.

Ujian Tuhan tidak pernah dikeluh, meskipun pernah lumpuh seluruh badan ketika bertugas di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.

Malah, niat baiknya diteruskan, apabila mengambil keputusan nekad bersara awal semata-mata menjaga ibu mentua di kampung halaman.

Benarlah apa dikata, ‘buat baik dibalas baik’ dan Siti Zuryani Ali, 56, mendapat rezeki tanpa diminta.

Sebagai umat Islam, dia sedar Allah adalah ‘Maha pemberi rezeki’ dan tidak pernah mendustakan hambanya.

Bersandarkan semangat itu, Siti Zuryani gagahkan diri mencuba nasib mengusahakan projek penternakan ayam pedaging.

Kini selepas 12 tahun menternak ayam, dia sudah terbiasa dengan asam garam industri penternakan.

Tanyalah apa saja berkaitan ‘ayam putih’ termasuk pengurusan dan kesihatan, pasti ada jawapan tersedia di bibirnya.

Jika penternak lain tidur di rumah, wanita hebat ini yang juga golongan kurang upaya (OKU) sanggup berjaga malam untuk berulang alik ke kandang ayam bagi memantau ternakannya.

Pernah berkhidmat sebagai pembantu makmal Jabatan Sains dan Teknologi Makanan, Fakulti Sains Makanan dan Bioteknologi (FSMB) UPM, Siti Zuryani mengakui dirinya jatuh cinta dengan bidang baru pada 2000.

“Semuanya bermula selepas tiga tahun saya pulang ke kampung.

“Saya tidak duduk diam, sebaliknya menjual pakaian wanita di pasar malam,” katanya.

Menurutnya, bermula dengan melawat ladang ayam milik rakan-rakan akhirnya dia terbuka hati terbabit dalam bidang penternakan.

“Sejak itu, saya mengikuti kursus penternakan di pusat latihan Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Ayer Hitam, Johor.

“Sepanjang tempoh 11 hari, banyak ilmu bermanfaat dikongsikan termasuk disediakan peluang pinjaman oleh Agrobank,” katanya.

Gabungan modal sendiri dan Agrobank berjumlah RM140,000 membolehkan Siti Zuryani membina reban ayam dua tingkat.

“Selain Agrobank, MARA juga menawarkan pinjaman RM200,000 tiga tahun kemudian,” katanya yang menggunakan tanah rizab milik FELDA.

Siti Zuryani yang turut dibantu suaminya, Abd Rahman Md Yusof, 57, kini mengusahakan tiga reban ayam sistem reban tertutup dengan kapasiti pengeluaran 32,000 ekor untuk tempoh tuaian 35 hari.

Dia yang menetap di FELDA Bukit Batu di Sedenak, Johor, membangunkan projek itu dengan kerjasama sebuah syarikat pembekal ayam bertaraf antarabangsa.

Berkongsi cerita katanya, menternak ayam tidak semudah disangka apatah lagi memerlukan modal besar.

“Nak bela (menternak) ayam tidak boleh buat kerja lain dan perlu fokus,” katanya.

Dia pernah mengalami bekalan elektrik terputus di reban miliknya sehingga mengakibatkan 7,000 ayam mati.

“Namun, saya tidak berputus asa sebaliknya minat, modal, semangat dan tidak memilih kawan menjadi faktor kejayaan ke tahap ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2015 @ 10:42 AM