ABU Bakar menunjukkan reban rakit yang dibina bagi menyelamatkan ternakan ayam peliharaanya. FOTO Rosli Ilham
ABU Bakar menunjukkan reban rakit yang dibina bagi menyelamatkan ternakan ayam peliharaanya. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham

Chukai: Warga emas membina reban rakit bagi menyelamatkan ayam ternakannya daripada mati dihanyutkan akibat banjir.

Penoreh getah Abu Bakar Che Ahmad, 66, dari Kampung Tebak, Air Putih, di sini, berkata dia mencipta kaedah terbabit selepas tidak sanggup mengalami kerugian setiap tahun.

"Saya menternak ayam denak yang dikacukkan dengan baka ayam hutan sejak tujuh tahun lalu sebagai pendapatan sampingan.

"Setiap ekor ayam ini dijual antara RM100 hingga RM300 bergantung kepada baka.

"Namun setiap kali banjir, paras air meningkat sehingga lima meter menyebabkan saya pernah mengalami kerugian RM5,000 akibat semua ayam peliharaan mati dihanyutkan air," katanya.

Menurutnya, bagi menyelesaikan masalah itu, dia mencari idea dengan menjadikan reban ayam itu seperti rakit.

Katanya, dia mengeluarkan modal sebanyak RM2,000 dan mula membina reban rakit itu menggunakan kayu dan jaring sebagai sangkar, manakala tong plastik dijadikan pelampung.

"Saya ambil masa selama seminggu membina reban rakit itu dan kini ia mampu memuatkan hampir 200 ekor ayam.

"Reban ayam ini kemudian diikat pada tiang rumah dan sejak dua tahun banjir melanda, reban ini akan terapung dan tidak dihanyutkan air," katanya.

Katanya, kampungnya sering ditenggelami air setiap kali tiba musim tengkujuh akibat limpahan Sungai Kemaman yang terletak berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 January 2022 @ 4:42 PM