Ipoh: Pameran Cina Islam Pangkor-Sanya di Perpustakaan Negeri Perak, di sini, mendedahkan hubungan sejarah yang wujud antara masyarakat Cina Islam di bandar Sanya, Pulau Hainan, China dengan Pulau Pangkor.

Pengerusi Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) China, Dr Yusuf Liu Baojun, berkata hubungan rapat yang terjalin itu menunjukkan wujudnya penempatan dan mobiliti dunia Melayu pada zaman dahulu melalui lautan, seperti kisah pengembaraan rakyat China ke serata dunia.

“Hubungan kepulauan, tidak syak lagi, mempercepatkan mobiliti manusia untuk merentas benua.

“Jadi, penduduk Cina di Pulau Pangkor kebanyakannya berasal dari Pulau Hainan, manakala kewujudan dua kampung yang mempunyai penduduk berketurunan Melayu di Sanya pula menunjukkan wujudnya hubungan Melayu Polynesia yang hebat ini.

“Beberapa rekod sejarah awal yang ada di China membayangkan perkara ini,” katanya.

Kebanyakan orang Islam di Sanya dikatakan berketurunan Utsul, satu daripada suku Cham, yang mempunyai hubungan rapat dengan Melayu Polynesia.

Yusuf berkata, pameran dari 8 hingga 22 Mac itu, yang julung kali diadakan akan membantu mempromosi pelancongan di Perak.

“Bandar Sanya adalah sebuah destinasi pelancongan antarabangsa di China manakala Pulau Pangkor pula merupakan tempat pelancongan terkenal di Malaysia.

“Oleh itu, kami cuba menyemarakkan industri pelancongan Perak dengan menarik pelancong dari China,” katanya.

Yusuf berkata, antara objektif pameran itu ialah untuk membantu orang ramai lebih memahami tentang Islam dan keharmonian yang wujud dalam masyarakat Malaysia yang bersifat pelbagai budaya.

“Kita hidup dalam masyarakat pelbagai kaum yang kompleks, tetapi kita percaya dialog tamadun dan kekerapan berkomunikasi boleh membantu memupuk keharmonian dan persefahaman.

“Pada pameran itu, terdapat pelbagai artifak, maklumat sejarah, syiling lama dan Khat dari China, yang kami harap dapat meningkatkan kefahaman tentang umat Islam di China,” katanya.

Pameran itu dibuka kepada orang ramai dari 9 pagi hingga 5.30 petang setiap hari dan akan dirasmikan anggota Exco negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohd Radzi, Khamis ini.

Yusuf berkata, koleksi khas penerbitan masyarakat Cina Islam yang dipamerkan di Perpustakaan Negeri Perak juga akan membantu menambah pengetahuan para pengunjung.

Sejak 1992, lima belas buku karangan beliau diterbitkan di Malaysia, China dan Brunei.

Antara tajuk buku berkenaan ialah Flowing to East, Yellow River (1992), A Glance of Chinese Muslims (1998), Perkembangan Masyarakat China Muslim Di Dunia (1999), Overseas Chinese Muslims (2004), To Know Islam (1998), The World’s Chinese Muslims (2011) dan Malay Descendant Communities in China (2013). - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2015 @ 9:44 PM