Min Chang bersama suami dan anak makan menggunakan tangan serta turut sama bersila mengikut budaya tempatan.
Min Chang bersama suami dan anak makan menggunakan tangan serta turut sama bersila mengikut budaya tempatan.
Noor Hidayah Tanzizi


Pangkor: “Walaupun panas dan kekok memakai baju kurung bersama selendang menutup kepala, ia tidak mendatangkan masalah, malah saya rasa diri seperti dilindungi,” kata Tan Min Chang, 35, pelancong wanita dari China.

Min Chang yang bercuti ke Pulau Pangkor bersama suami Wang Wie Hong, 44, serta tiga anak mereka dengan mengikuti pakej pelancongan unik yang menawarkan pengenalan budaya masyarakat Melayu seperti adab harian, pakaian kebangsaan (baju kurung) dan makanan yang sinonim dengan masyarakat Melayu.

Menurutnya, ini kali kedua dia bercuti ke negara ini dan berasa sangat beruntung kerana dapat mempelajari budaya penduduk setempat serta tiada perasaan takut untuk merasainya biarpun ia jauh berbeza daripada budayanya.

“Apa yang menarik kami diajar cara bersalaman dan adat ketika makan bagi masyarakat Melayu serta turut berpeluang memakai baju kurung bersama selendang.

“Lauk yang dihidangkan juga menambat selera cuma, kaki kami lenguh sedikit kerana tidak biasa duduk bersila ketika makan dan agak kekok makan menggunakan tangan,” katanya.

Min Chang berkata, kebudayaan masyarakat setempat yang menunjukkan kemesraan dan hubungan erat antara satu sama lain menarik minatnya sekeluarga.

“Ini pengalaman pertama kami mendekati penduduk setempat dan ia memberikan pengalaman yang menarik bagi percutian kali ini.

“Kami juga gembira dengan layanan mereka (tuan rumah) yang melayani kami dengan mesra dan akan menceritakan pengalaman ini kepada rakan di negara asal,” katanya.

Sementara itu, penyelaras aktiviti Oh Teik Dong berkata, dia menubuhkan agensi pelancongan menerusi Ping Yang Ju Travel & Tour Sdn Bhd bersama dua rakan lain dan mahu membawa kelainan pada aktiviti percutian dia Pulau Pangkor.

Menurutnya, inisiatif yang dilakukan sejak lebih setahun lalu itu bagi mempelbagaikan aktiviti di pulau itu supaya ia tidak hanya terhad kepada aktiviti pantai atau aktiviti laut seperti memancing dan candat sotong saja.

“Ia aktiviti utama kami dan pelancong dapat merasai keunikan serta kelainan daripada aktiviti wajib yang kebiasaannya diadakan di pulau ini seperti rekreasi pantai atau laut dan lawatan ke tempat bersejarah.

“Pelancong asing berpeluang mengenali dengan lebih dekat budaya masyarakat setempat melalui konsep pelancongan yang kami ketengahkan ini iaitu rasa, faham dan lihat supaya mereka dapat merasai sendiri cara hidup masyarakat kampung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2016 @ 5:52 AM