Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Haji (TH), hari ini, menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM4,044,267.79 bagi tahun 2014 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Johan Abdullah, berkata pembayaran zakat itu mencatat peningkatan 4.5 peratus atau RM172,536.75 berbanding RM3,871,731.04 pada tahun sebelumnya yang diberikan kepada negeri itu.

“Jumlah keseluruhan zakat perniagaan TH untuk tahun 2014 yang akan dibayar kepada negeri di Malaysia adalah RM49.87 juta berbanding RM46.29 juta pada 2013,” katanya kepada selepas majlis menyerahkan pembayaran zakat itu kepada MAIK, di sini.

Johan menyampaikan pembayaran itu kepada Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra Ibni Ismail Petra yang juga Yang Dipertua MAIK.

Johan berkata, Kelantan adalah negeri keenam selepas Johor, Pulau Pinang, Sabah, Negeri Sembilan dan Melaka dalam siri jelajah penyerahan zakat perniagaan TH tahun ini.

Johan berkata, selain pusat zakat, TH turut mengagihkan zakat secara terus kepada golongan asnaf di seluruh negara melalui program tanggungjawab sosial korporat sepanjang tahun.

Sementara itu, pada majlis yang sama syarikat Kumpulan UMW turut menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM600,000 kepada MAIK.

Zakat tersebut disampaikan Pengarah Eksekutif Bahagian Khidmat Kewangan UMW, Azmin Che Yusoff. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2015 @ 4:19 PM