Pelajar adalah penerima pembiayaan kedua terbesar zakat di Kelantan. (Gambar kecil) Komarudin (kiri) menyerahkan replika cek zakat perniagaan kepada Nik Mohd Azlan. FOTO Fathil Asri
Pelajar adalah penerima pembiayaan kedua terbesar zakat di Kelantan. (Gambar kecil) Komarudin (kiri) menyerahkan replika cek zakat perniagaan kepada Nik Mohd Azlan. FOTO Fathil Asri
Mohamad Zulhairie Manzaidi


PELAJAR menjadi kelompok pembiayaan kedua tertinggi Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), selepas asnaf dan fakir miskin.

Timbalan Yang Dipertuanya, Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi berkata, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM30 juta setahun untuk membantu golongan itu.

Katanya, bantuan turut diberi kepada mana-mana pelajar layak yang membuat permohonan.

“Kita sedar bahawa pelajaran amat penting dan disebabkan itu MAIK serius dalam membantu pelajar menyambung pelajaran.

“Ada antara mereka menerima bayaran segera dan ada juga yang menerima biasiswa pengajian tinggi," katanya selepas Majlis Penyerahan Cek Zakat Perniagaan daripada Bank Simpanan Nasional (BSN) di Pejabat MAIK, Kota Bharu, hari ini.

Dalam majlis itu, BSN menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun berakhir 2016 sebanyak RM35,000.

Penyerahan disempurnakan oleh Pengarah Perniagaan BSN Kelantan, Komarudin Mustapha kepada Nik Mohd Azlan.

Sementara itu, Komarudin berkata, nilai zakat yang diserahkan itu adalah hasil daripada keuntungan yang diperoleh BSN daripada 20 cawangannya di seluruh Kelantan.

Katanya, BSN adalah bank kerajaan yang melaksanakan mandat kepada rakyat.

"Keuntungan bukan satu menjadi keutamaan dalam konteks BSN, kerana kita perlu melunaskan dulu mandat yang diberikan kerajaan kepada rakyat.

"Jadi pembayaran zakat yang dilakukan adalah berdasarkan pengiraan keuntungan yang diperoleh BSN sepanjang tahun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2017 @ 6:47 PM