Maguindanao: Untuk kali kesembilan, militan buruan, Abdul Basit Usman terlepas lagi daripada kepungan tentera Filipina dalam pertempuran semalaman di Shariff Saydona kelmarin.

Di sebalik ‘kegagalan’ itu, tentera bagaimanapun berjaya membunuh empat daripada 20 anggota Pejuang Pembebasan Islam Bangsamoro (BIFF).

Jurucakap tentera berkata, seorang daripada mereka memakai pakaian seragam Pasukan Tindakan Khas Polis Filipina.

“Ada kemungkinan dia adalah antara anggota BIFF yang membunuh komando polis pada 25 Januari lalu,” katanya.

Menurut pegawai perhubungan awam tentera, Harold Cabunoc, kematian terbaru itu menjadikan jumlah anggota BIFF yang dapat dibunuh sejak Jumaat lalu menjadi 18 orang.

Sementara itu tentera melanjutkan tempoh serangan ke atas kubu BIFF dalam usaha mereka menangkap atau membunuh Abdul Basit.

“Ketika ini mereka sudah terkepung dan Abdul Basit adalah sasaran bernilai tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini jurucakap tentera berkata, mereka yakin ada lima militan warga asing yang berperang bersama Abdul Basit. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2015 @ 5:31 AM