BATIK Air terbang ke Hat Yai dan Krabi bermula 13 September depan. FOTO Arkib NSTP
BATIK Air terbang ke Hat Yai dan Krabi bermula 13 September depan. FOTO Arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Batik Air memperkenalkan laluan baharunya ke Hat Yai dan Krabi, Thailand bermula 13 September depan.

Destinasi dari Kuala Lumpur itu akan beroperasi setiap hari menggunakan pesawat B737 dengan tempat duduk dwikelas iaitu kelas perniagaan dan kelas ekonomi.

Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, laluan itu diperkenalkan berikutan menjadi pilihan dan popular dalam kalangan pelancong Malaysia dengan lebih empat juta lawatan tahunan.

"Tahun lalu, sebanyak 4.62 juta pelancong Malaysia meneroka keajaiban Thailand, menggariskan tarikan destinasi seperti Hat Yai dan Krabi yang semakin meningkat.

"Pengembangan laluan ini sejajar dengan komitmen kami untuk memenuhi permintaan yang meningkat dan menawarkan pengalaman perjalanan luar biasa," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, peningkatan jumlah pelancong Thailand yang melawat Malaysia juga melebihi 1.5 juta tahun lalu, menunjukkan hubungan pelancongan yang teguh antara kedua-dua negara dan keperluan untuk mengembangkan rangkaian laluan Batik Air untuk memenuhi keperluan penumpang dengan lebih baik.

Menurut Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand, Malaysia kini menduduki tempat teratas sebagai pengunjung utama ke Krabi, manakala Hat Yai mengalu-alukan kira-kira 2.5 juta pelawat Malaysia setiap tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 6:20 AM