Ridzuan Abdul Rahman


Kelahiran album terbaharu penyanyi rap terkenal, Joe Flizzow berjudul This Is Johan yang bakal dikeluarkan dalam tempoh terdekat pastinya menceriakan peminat.

Penyanyi rap terkenal ini berkata, dia mengimpikan untuk mengadakan konsert atau jelajah seluruh negara sebaik album yang memuatkan 15 lagu ini dikeluarkan.

"Memang hasrat saya apabila album ini keluar, saya akan buat konsert. Besar atau kecil konsert ini bergantung kepada kota atau negeri terbabit. Tapi, harapan saya ialah untuk menjelajah ke seluruh pelosok Malaysia.

"Macam kita tengok dalam kapasiti saya sebagai bos label rakaman Def Jam, kami banyak buat program jelajah universiti membabitkan artis kami sebelum ini.

"Menerusi program ini kita dapat belajar walaupun kota itu kecil, tapi masih ada permintaan untuk persembahan secara langsung," katanya.

Joe berkata, sebelum ini mereka pernah mengadakan persembahan di Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah yang menggamit kehadiran ribuan peminat.

"Sudah tentunya kami berkolaborasi dengan universiti untuk tujuan ini. Begitu juga persembahan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjong Malim, Perak yang dihadiri sekitar 6,000 peminat.

"Jadi, saya rasa kalau tanya secara amnya, saya memang nak banyak jelajah. Kalau kita tengok 20 tahun lalu, kami promosikan satu album, akan pergi satu negara.

"Tapi, mungkin sekarang kerana ada media sosial bila semua orang ada TV di rumah kita rasa promosi hanya terhad untuk 'show TV' atau 'show radio' . Tapi, bila buat begitu saya rasa yang rugi ialah penyanyi dan peminat itu juga kerana kami tak dapat interaksi yang penuh," katanya.

Penyanyi lagu Satu Malam Di Temasek ini mengakui amat merindui kenangan lampau selain menganggap tanpa peminat siapalah artis.

"Kami ini penghibur. Kami nak menghiburkan semua orang dan segala lapisan masyarakat. Saya rasa benda itu hanya boleh berlaku jika kami pun aktif buat sesi jelajah.

"Kami perlu faham kalau orang itu tinggal di Sabah atau Sarawak mungkin tak senang untuk mereka datang untuk tengok 'show' di Kuala Lumpur. Jadi, apa salahnya kami ke sana," katanya.

JOE pada sidang media Konsert Divas & Diamonds 2024.
JOE pada sidang media Konsert Divas & Diamonds 2024.

Berduet dengan Rossa

Joe akan menawan peminatnya di Johor menerusi Konsert Divas & Diamonds 2024 yang berlangsung di Arena Larkin, Johor Bahru, Johor pada 7 September depan.

Turut bersamanya membuat persembahan ialah Datuk Jamal Abdillah, Datuk Seri Rossa dan Dayang Nurfaizah.

"Bagi saya ini adalah kelainan kerana biasanya 'show' di Kuala Lumpur. Sekarang di Johor Bahru. Saya rasa negeri Johor dan Johor Bahru terutamanya ada potensi untuk jadi satu hub hiburan.

"Kalau kita tengok, konsert dekat Singapura kadang-kadang tiketnya 'sold out' hanya dalam masa dua hari. Apa salahnya Johor juga menjadi destinasi untuk konsert tempatan dan antarabangsa.

"Saya rasa ini adalah satu langkah ke depan untuk kerjasama dengan negeri Johor juga. Kita jadikan Johor sebagai satu destinasi untuk 'live performance' untuk artis dari negara kita dan negara luar. Ini adalah detik permulaan," katanya.

Melihatkan artis lain yang mempunyai prestij tersendiri, Joe tidak mahu mengaku kalah dan akan tampil dengan persembahan yang gempak.

"Takkan saya nak perform biasa-biasa sahaja. Beraksi di Larkin adalah impian saya. Tambah lagi, lokasi ini dekat dengan saya kerana keluarga saya dari Johor. Saya selalu tengok bola sepak di Stadium Larkin dahulu.

"Saya akan tampil bersama kumpulan pemuzik terdiri daripada pemain violin, cello, biola, dram, gitar, mobile dj dan pelbagai lagi. Kelainannya kita jarang tengok artis hip hop beraksi dengan 'full band'.

"Penonton juga akan dapat lihat kolaborasi saya dengan Rossa. Ada dua lagu ciptaan saya iaitu lagu Melayu dan Inggeris yang dinyanyikan oleh Rossa. Lagu Inggeris itu saya cipta 10 tahun lalu. Saya yakin kami akan menyanyi bersama pada konsert ini," katanya.

BERSAMA Pengarah Muzik Konsert Divas & Diamonds 2024, Genervie Kam (dua dari kiri), Jamal (tengah) dan Penganjur Konsert Divas & Diamonds 2024, Aman Ali (kiri).
BERSAMA Pengarah Muzik Konsert Divas & Diamonds 2024, Genervie Kam (dua dari kiri), Jamal (tengah) dan Penganjur Konsert Divas & Diamonds 2024, Aman Ali (kiri).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 6:00 AM