NEW Boyz tinggalkan memori terindah buat peminat setia dalam Konsert New Boyz 25th Anniversary Live In Kuala Lumpur di Dewan Plenary, KLCC. FOTO Hairul Anuar Rahim
NEW Boyz tinggalkan memori terindah buat peminat setia dalam Konsert New Boyz 25th Anniversary Live In Kuala Lumpur di Dewan Plenary, KLCC. FOTO Hairul Anuar Rahim
Ramlah Zainal


Konsert New Boyz 25th Anniversary Live In Kuala Lumpur yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) malam Sabtu lalu bukan sahaja mengimbau nostalgia, sekali gus meninggalkan memori terindah buat peminat setia kumpulan itu.

Lebih bermakna, tiket konsert mereka juga 'sold out' dengan berjaya menarik 3,000 penonton.

Penyanyi dan vokalis kumpulan New Boyz, Tomok atau Shah Indrawan Ismail, 40, juga bersyukur kerana konsert itu mendapat sambutan hangat dari peminat setia yang menjadi tunjang kumpulan itu bertapak sejak lebih dua dekad lalu.

"Alhamdulillah, saya bangga dan bersyukur kerana ramai peminat dari Malaysia, Singapura, Brunei Darussalam dan Indonesia yang sanggup datang dari jauh semata-mata nak tengok konsert New Boyz.

"Pada mulanya, saya risau kerana akan menyampaikan 28 lagu iaitu yang paling banyak pernah dinyanyikan, tapi dengan tidur dan rehat yang cukup ia berjaya direalisasikan.

TOMOK beri ‘teddy bear’ pada peminat bertuah untuk imbau memori. FOTO Hairul Anuar Rahim
TOMOK beri ‘teddy bear’ pada peminat bertuah untuk imbau memori. FOTO Hairul Anuar Rahim

"Bagi saya, konsert ini meninggalkan momen yang cukup indah bersama peminat dan kami sudah buat sehabis baik," katanya selepas konsert berakhir pada malam itu.

Mengenai pemilihan lagu pula, kata Tomok, rangkaian lagu hit yang dipilih sejak dari album pertama itu turut mengimbau zaman remaja bersama peminat sejak 1999.

"Ramai peminat New Boyz masih di sekolah rendah dan menengah ketika itu, konsert ini juga untuk imbau memori bersama mereka.

"Kami juga sudah menghasilkan 60 lagu sepanjang 25 tahun dalam industri muzik dan hanya sebahagian lagu dinyanyikan untuk konsert ini," katanya.

Selain Tomok, New Boyz turut dianggotai Lan (gitar), Zimi (gitar), Afiez (gitar), Zack (bass) dan Ristoe (dram).

Ditanya pemberian 'teddy bear' (patung beruang) pula, kata Tomok, mereka memilih untuk memberikan 'teddy bear' kepada peminat kerana ia memang sinonim dengan konsert New Boyz sejak dulu.

"Setiap kali kami jayakan konsert sama ada di Malaysia atau Brunei, pasti ada peminat yang hadiahkan 'teddy bear' dan rantai.

"Justeru, kami fikir lebih baik beri peminat yang bertuah 'teddy bear' malam konsert ini untuk mengimbau kembali memori itu," katanya.

TOMOK tampilkan anaknya, Arrian di pentas. FOTO Hairul Anuar Rahim
TOMOK tampilkan anaknya, Arrian di pentas. FOTO Hairul Anuar Rahim

Mengulas penampilan anaknya, Arrian Shah Akid, 12, pula, kata Tomok, dia hanya beri peluang untuk anaknya menyanyi di pentas besar seperti Dewan Plenary, KLCC itu.

"Sudah dua kali saya tolak permintaan Arrian untuk menyanyi dalam konsert New Boyz, tapi kali ini saya penuhi permintaannya itu.

"Saya tidak halang minatnya menyanyi, tetapi kena utamakan pelajaran dulu. Bidang muzik ini luas untuk terbabit dalam bidang nyanyian pun kena tahu baca 'note' muzik," katanya.

Dalam segmen persembahan selama tiga jam tanpa henti, Tomok juga memukau penonton dengan rangkaian lagu hit yang meniti dibibir peminat kumpulan itu sejak dulu.

Peminat puas dan terhibur dengan persembahan mantap New Boyz pada konsert itu.

Antaranya lagu dinyanyikan adalah Sejarah Mungkin Berulang, Meraung, Lukamu Lukaku Jua, Hadir Di Sisi, Dia, Ke Puncak Impian, Persis Kejora, Hiasan Di Laman Rindu, Lolita, Bicara Tentang Setia, Iye Iye Iyo, Sarena Cintaku, Kejora, Kau Abadi Selamanya dan Norkia.

Selain lagu Akulah Bakawali, Khilaf, Berilah Jawapan, Cuba Cuba, Hanya Tinggal Sejarah, Cinta Ciptaan Kita, Putus, SMS, Nurmafisa, Marah Bukan Sifatku, Qyiam, Habis Manis Sepah Dibuang dan Kau Bernama Cinta.

TOMOK turut berduet dengan Siti Nordiana dalam konsert New Boyz. FOTO Hairul Anuar Rahim
TOMOK turut berduet dengan Siti Nordiana dalam konsert New Boyz. FOTO Hairul Anuar Rahim

Tomok turut mengundang penyanyi popular Siti Nordiana untuk berduet lagu terbaharu mereka berjudul Memori Mungkin Berulang dan turut mendapat sorakan dari penonton.

Konsert ini dianjurkan susulan kejayaan Konsert New Boyz Sejarah Mungkin Berulang di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) tahun lalu.

Antara rakan artis yang hadir memberi sokongan ialah Black Hanifah, De Fam, Edry KRU, Man Bai dan kumpulan Boboy.

Selepas konsert ulang tahun ke-25 ini, New Boyz akan mengadakan konsert di Singapura pada Oktober depan.

Kumpulan popular era 1990-an New Boyz pernah mencipta fenomena dan menjadi kegilaan peminat remaja sejak ditubuhkan pada 1999 dan bergiat aktif sehingga 2007.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 6:16 AM