Ramlah Zainal


Penyanyi berbakat, Ahmad Alif Afif Tirmizie atau Afif teruja dengan buah tangan terbaharunya, Wira Peronda yang merupakan single pertama bersama syarikat rakaman Alternate Records.

Afif menganggap tawaran ini sebagai peluang yang dinanti untuk beliau melebarkan sayap dalam bidang nyanyian melalui penghasilan lagu runut bunyi (OST) drama aksi kepolisan Polis Peronda yang ditayangkan di TV3.

Lagu runut bunyi Wira Peronda dinyanyikan Afif turut memainkan peranan penting dalam menambahkan lagi kesan dramatik dan emosi bagi setiap episod drama terbabit.

Afif melahirkan rasa teruja dan bangga kerana dapat turut serta dalam projek istimewa ini.

"Saya amat terharu kerana diberi peluang menyumbangkan suara dalam drama hebat ini. Saya berharap lagu ini dapat menyentuh hati penonton dan memberikan kesan mendalam," katanya.

Menurut Afif lagi, perasaannya bercampur baur apabila mengetahui lagunya menjadi OST drama Skop Production.

"Agak gementar juga kerana saya tidak pernah menyanyikan lagu berentak seperti ini," katanya.

Sesi rakaman lagu hanya mengambil masa dua jam dan ini adalah kali pertama Afif bekerjasama dengan komposer Ikhwan Fatanna dan Wan Salleh.

Afif menyifatkan pengalaman ini sebagai sangat menyeronokkan kerana kedua-dua komposer berkenaan sangat profesional dan santai.

"Jika diberi peluang, saya ingin bekerjasama lagi," tambahnya.

Walaupun dikenali dengan lagu berentak hip hop dan balada, Afif menganggap cabaran menyanyikan lagu Wira Peronda ini sebagai satu kelainan apabila dia melangkah keluar dari zon selesa.

"Ini suatu cabaran baharu buat saya kerana perlu menyanyikan genre yang berlainan daripada kebiasaan saya iaitu hip hop atau balada. Bagaimanapun, peluang ini akan memberikan ruang untuk saya menonjolkan kelainan dari segi vokal kerana peminat tidak pernah mendengar saya menyampaikan lagu bergenre pop rock.

"Gabungan muzik yang mendalam dan lirik yang penuh makna menjadikan lagu ini sebagai salah satu karya terbaik saya dalam industri." kata Afif yang menyifatkan lagu berkenaan mempunyai mesej yang positif, penuh semangat dan berani.

Sementara itu, Ikhwan Fatana berkata, dia mula mengarang lirik dan melodi lagu ini bersama Wan Salleh apabila menerima permintaan dari Alternate Records mengenai drama Polis Peronda.

"Proses pembikinan lagu ini mengambil masa hanya dua minggu.

"Afif sentiasa ada idea menarik dan vokalnya yang tersendiri menjadikan lagu ini unik.

"Saya harap lagu ini berjaya melekat di ingatan pendengar yang menonton drama ini." katanya.

Drama Polis Peronda menarik perhatian ramai dengan cerita yang mengisahkan perjuangan dan pengorbanan anggota polis dalam menegakkan keadilan.

Lagu Wira Peronda membawa mesej mengenai kewibawaan dan kredibiliti pasukan unit peronda menggambarkan visi dan misi polis peronda yang digarapkan dalam OST drama itu dan berjaya memberikan kesan emosi yang kuat dalam setiap babak penting drama ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 6:30 AM