SAMSUNG Galaxy Z Flip6 memberikan keupayaan spesifikasi terkini.
SAMSUNG Galaxy Z Flip6 memberikan keupayaan spesifikasi terkini.
Muhammad Saufi Hassan


Elegan, bergaya dan kualiti binaan terbaik. Itu ringkasan kepada peranti baharu keluaran Samsung daripada generasi Galaxy Z Flip6 yang menampilkan keupayaan maksimum.

Apabila menyentuh generasi Galaxy Z Flip ini, ia adalah sebuah peranti skrin boleh lipat yang menampilkan ciri elegan untuk pengguna termasuk keupayaan kamera sangat baik.

Pengenalan generasi baharu ini juga memberikan kebebasan kepada pengguna untuk memanfaatkan skrin depan berkeluasan 3.4 inci Super AMOLED FlexWindow yang sudah dipertingkan jika dibandingkan dengan generasi terdahulu.

Sesuai dengan peredaran teknologi terkini, peranti ini turut dikuasakan dengan bantuan Kecerdasan Buatan (AI) termasuk kaedah carian imej berasaskan AI dan penambahbaikan kepada Galaxy AI yang diterajui Samsung.

TETAPAN dua lensa utama memberikan kualiti imej lebih terperinci.
TETAPAN dua lensa utama memberikan kualiti imej lebih terperinci.

Menerusi pandang pertama ini, Samsung berjaya memberikan naik taraf kepada peranti generasi Galaxy Z Flip6 ini apabila binaannya semakin kukuh, semakin ringan dan keupayaan kamera yang dipertingkatkan.

Peranti ini hanya memiliki berat 187 gram dan didatangkan dengan dua lensa iaitu 50 megapiksel (MP) dan 12MP di bahagian depan manakala kamera swafoto adalah 10MP, sekali gus memberikan definisi gambar yang sangat baik.

Galaxy Z Flip6 ini juga boleh menggunakan FlexWindow dan pengguna boleh memegang peranti umpama 'camcorder' dan melihat skrin rakaman di bahagian depan tanpa sebarang masalah.

Ia juga menjadi peranti pertama yang dilengkapi dengan 'vapor chamber' dengan kapasiti bateri 4,000mAh, sekali gus memberikan jangka hayat bateri sepanjang hari dengan penggunaan paling optimum.

Peranti ini turut dilengkapi dengan Corning Gorilla Glass Victus 2 di bahagian belakang dan dilengkapi engsel 'dual rail hinge' yang dijamin tahap ketahanannya.

PENGGUNA boleh memanfaatkan skrin kecil di bahagian depan dengan mod FlexWindow.
PENGGUNA boleh memanfaatkan skrin kecil di bahagian depan dengan mod FlexWindow.

Penulis sangat tertarik dengan rekaan yang dikemas kini oleh Samsung menerusi generasi baharu ini dan binaannya lebih kukuh, selesa untuk dipegang dan paling utama adalah keupayaan kameranya.

Penulis melakukan ujian terhadap kameranya bagi penulisan akan datang, namun sebagai pandang pertama, Galaxy Z Flip6 ini turut dilengkapi kualiti zum optikal yang dibantu zum berasaskan AI.

Keupayaan teknologi AI dalam zum ini membersihkan kawasan garis luar subjek dengan 'ProVisual Engine' dan memberikan bokeh semula jadi kepada subjek berkenaan.

Secara keseluruhannya, peranti ini mengalami naik taraf yang sesuai dengan kelasnya dan jika pengguna lebih gemar dengan peranti bersaiz minimal, Galaxy Z Flip6 ini adalah jawapan kepada semua itu.

Peranti ini juga tidak mengabaikan soal keupayaan skrin serta kamera, malah ia adalah antara yang terbaik dalam kelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 6:13 AM