ACRYL Sani ketika merasmikan Pejabat PUNB Wilayah Sabah di Aeropod Commercial Square. FOTO Ihsan PUNB
ACRYL Sani ketika merasmikan Pejabat PUNB Wilayah Sabah di Aeropod Commercial Square. FOTO Ihsan PUNB
BERNAMA

Kota Kinabalu: Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) menyasarkan untuk meluluskan pembiayaan perniagaan sebanyak RM7 juta untuk 20 syarikat di Sabah pada tahun ini, kata Pengerusinya, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM1.01 juta diluluskan setakat bulan lepas, manakala sebanyak RM3.6 juta dalam proses kelulusan.

"Sejak penubuhan PUNB sehingga Jun lepas, sebanyak RM100.5 juta pembiayaan perniagaan diluluskan kepada 468 syarikat membabitkan kira-kira 600 usahawan di Sabah," katanya ketika merasmikan Pejabat PUNB Wilayah Sabah di Aeropod Commercial Square di sini, semalam.

Pada majlis itu, lagu korporat baharu 'Gemilang Bersama' diperkenalkan dan sambutan ulang tahun PUNB ke-33 pada 17 Julai ini turut dilancarkan.

Katanya, PUNB menawarkan skim pembiayaan dapat digunakan rakan usahawan untuk mengembangkan perniagaan mereka dalam sektor minyak dan gas serta sektor sokongan lain.

Acryl Sani berkata, pejabat baharu itu adalah komitmen PUNB untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada usahawan Bumiputera di Sabah.

Katanya, konsep pejabat baharu itu berbeza dengan pejabat cawangan lain mahupun di ibu pejabat kerana buat kali pertama pusat kecemerlangan diwujudkan untuk menyediakan kemudahan dan perkhidmatan kepada usahawan Bumiputera bagi mendapatkan nasihat, bimbingan dan tunjuk ajar daripada pegawai PUNB.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 6:15 AM