FAKTOR luaran juga menyumbang kepada tahap stres wanita.
FAKTOR luaran juga menyumbang kepada tahap stres wanita.
Muhammad Saufi Hassan


Tugas di rumah, kemelut di tempat kerja dan tanggungjawab sebagai isteri sering kali membebani wanita kontemporari pada masa kini khususnya yang mempunyai karier tersendiri.

Jika dibandingkan dengan lelaki, wanita lebih tinggi untuk mengalami stres atau tahap tekanan yang tinggi kerana pelbagai sebab antaranya adalah bebanan tanggungjawab yang banyak selain sifat semula jadi golongan itu sendiri.

Ia sebenarnya didorong faktor biologi wanita itu sendiri dan tahap tekanan berkenaan juga disumbangkan faktor luaran antaranya persekitaran, tempat kerja, pendapatan bulanan dan jam bekerja mingguan.

Faktor luaran berkenaan memberi kesan kepada tahap tekanan wanita dan ia turut dibuktikan dengan kajian yang dilaksanakan secara global.

Wanita perlu bijak menangani tekanan yang dihadapi dan tidak terlalu memikirkan sesuatu masalah sehingga mereka mungkin terperangkap dalam ruang pemikiran berkenaan.

Malah, faktor sosioekonomi turut menyumbang kepada tekanan ini. Wanita yang berpendapatan stabil atau tinggi kurang mengalami tekanan kerana mereka boleh membelanjakan wang mereka dengan keinginan peribadi.

Contohnya, membeli barangan kesukaan, meluangkan masa bergembira bersama rakan dan sebagainya mampu untuk mengurangkan beban tekanan.

Berdasarkan satu kajian yang dilaksanakan World Economic Forum (WEF) memperlihatkan bahawa wanita yang berpendapatan lebih rendah daripada lelaki mempunyai risiko tinggi untuk menghidap tekanan mental.

Ironi daripada fakta yang dinyatakan di awal tadi bahawa 'lumrah alam', wanita berpendapatan lebih rendah daripada lelaki kerana lelaki memikul tanggungjawab besar.

Menyentuh kajian berkenaan, secara puratanya, pendapatan global untuk perbezaan jantina adalah wanita memperoleh sekitar RM50,000 setahun manakala lelaki adalah RM80,000 secara tahunan.

Selain itu, firma kajian digital, NHS Digital turut menyatakan bahawa wanita yang bekerja lebih daripada 55 jam seminggu mempunyai kemungkinan yang lebih tinggi untuk mengalami kemurungan berbanding waktu bekerja biasa iaitu sekitar 35 hingga 40 jam.

Sebaliknya, fakta berbeza untuk lelaki apabila mereka tidak dipengaruhi faktor luaran berkenaan berbanding wanita.

Penyelidik daripada NHS Digital mencadangkan ini mungkin kerana wanita menghadapi 'beban berganda' iaitu berjam-jam yang dihabiskan dalam pekerjaan termasuk tanggungjawab untuk menguruskan kerja rumah.

Wanita melakukan kerja rumah seperti mengemas, membasuh kain, membersihkan dan sebagainya dalam tempoh lebih lama berbanding lelaki.

Kedua-dua lelaki dan wanita yang bekerja pada kebanyakan atau semua hujung minggu lebih berkemungkinan menjadi tertekan berbanding mereka yang mempunyai tempoh rehat dan tidak bekerja sepanjang minggu.

Wanita yang bekerja sekurang-kurangnya 55 jam seminggu mempunyai 7.3 peratus lebih cenderung mengalami gejala kemurungan berbanding mereka yang bekerja antara 35 dan 40 jam.

Penyelidikan NHS Digital juga mendapati bahawa 19 peratus wanita di England menderita pada satu ketika akibat gangguan mental, terutama kebimbangan atau kemurungan.

Wanita boleh melakukan pelbagai aktiviti sampingan untuk mengurangkan tekanan sama ada di tempat kerja mahupun di rumah dengan meluangkan lebih banyak masa terhadap aktiviti kegemaran.

Antara kaedah semula jadi yang boleh diambil wanita adalah mengehadkan tempoh bekerja serta tempoh berehat termasuk meluangkan lebih banyak masa dengan suasana hijau.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 6:25 AM