ADRIAN TAN
ADRIAN TAN
ADRIAN  bersama Jeffrey (kiri) dan Golf (tengah).
ADRIAN bersama Jeffrey (kiri) dan Golf (tengah).
Oleh Michelle Gun


Selepas mengharungi cabaran selama 11 minggu, selebriti tanah air, Adrian Tan diangkat sebagai juara program bercorak permainan Find The Wasabi - Norika’s Hunters.

Kemenangan penyanyi dan pelakon itu bakal diumumkan pada episod terakhir Find The Wasabi di saluran ntv7 pada 27 Mac ini.

Tan yang mewakili Malaysia berjaya menewaskan dua peserta lain yang juga selebriti iaitu Golf Pichaya (Thailand) dan Jeffrey Xu (Singapura).

Malah, bagi menyambut kemenangan selebriti itu, lampu di Menara Tokyo bertukar warna kepada merah, putih dan biru, mewakili bendera Malaysia.

Tan dalam sesi temu bual baru-baru ini berkata, penyertaan program realiti itu pengalaman yang berharga baginya kerana berpeluang menerokai Jepun.

“Saya bukan saja dapat melawat lokasi menarik malah berpeluang menjalin persabahatan dengan peserta dari Singapura, Thailand, Norika serta kru produksi.

“Justeru, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak ntv7 kerana kepercayaan untuk mewakili Malaysia dalam program ini,” katanya.

Kata Adrian lagi, penonton di negara ini pasti teruja menyaksikan program Find The Wasabi yang memaparkan keunikan dan keindahan persekitaran dan budaya masyarakat Jepun.

Pengurus Besar Kumpulan ntv7 & 8TV, Airin Zainul berkata, pihak stesen bangga dengan kemenangan Tan sebagai juara program Find The Wasabi.

“Program realiti berkonsepkan permainan itu menggabungkan budaya, makanan dan pengembaraan di samping membawa penonton menyaksikan Jepun dari perspektif berbeza,” katanya.

Beliau juga berharap kolaborasi diantara Primeworks Studios dan produksi Tokyo Broadcasting System dapat berterusan.

“Program ini turut mendapat sokongan dari Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi Jepun serta Persatuan Eksport Program Siaran Jepun,” katanya.

Siri Find The Wasabi yang ditayangkan pada 9 Januari lalu di saluran ntv7 menampilkan tiga selebriti dari Asia yang digelarkan sebagai hunters dikehendaki mencari resipi rahsia masakan masyarakat Jepun.

Dalam setiap episod, peserta diberi tugasan mencabar oleh ikon popular Jepun, Norika Fujiwara untuk menyelesaikan misteri berkaitan negara matahari terbit itu.

Fujiwara terkenal di Asia menerusi lakonannya alam drama GTO, Love Generation dan With Love. Pada penghujung setiap episod, peserta akan bertemu dengan Norika untuk menentukan pemenang.

Sepanjang program berkenaan, peserta mengembara ke Kyushu dari Tokyo dan mereka diberikan misi berbeza supaya masing-masing dapat mempelajari budaya penduduk tempatan.

Antara cabaran ialah menyertai pertempuran Ninja, belajar mengenai servis penghantaran makanan serta terbabit dalam upacara teh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2015 @ 5:03 AM