FIDZ adakan 'showcase' perkenal diri pada orang ramai.
FIDZ adakan 'showcase' perkenal diri pada orang ramai.
Syanty Octavia Amry


Dia tidak dikenali kerana masih baru dalam bidang nyanyian, namun semangat untuk memperkenalkan diri dan muzik yang dibawanya tidak pernah luntur meskipun harus melakukannya seorang diri.

Kebiasaannya penyanyi akan mengadakan persembahan atau ‘showcase’ selepas single pertama mereka menjadi hit dan bualan ramai.

Namun bagi penyanyi baru, Fidz, 28, tidak perlu mengikut cara orang lain, yang penting hasrat menawan hati pendengar terlaksana.

Mengadakan ‘showcase’ pertama kali di Talent Lounge, Damansara Perdana pada 27 Februari lalu, penama penuh Muhammad Hafidzuddin Roslan ini gembira meskipun tidak ramai namun perhatian penonton yang ada pada malam itu sudah cukup memuaskan hatinya.

“Saya tahu ini adalah satu perkara yang jarang-jarang dilakukan kebanyakan penyanyi. Artis yang sudah popular pun mengambil masa untuk mengadakan persembahan ‘showcase’.

“Inikan pula saya yang masih baru dan belum dikenali. Namun begitu, sasaran saya pada ‘showcase’ yang diadakan walaupun tidak ramai dapat menarik perhatian seorang dua penonton sudah cukup.

“Kerana saya yakin, dengan adanya teknologi canggih sekarang ini pastinya ia akan menjadi viral di laman Internet.

“Ini cara saya, saya akan terus mengadakan ‘showcase’ di mana-mana tempat yang sudi memberi kerjasama,” katanya.

Penyanyi berasal dari Negeri Sembilan ini berkata, single ciptaannya berjudul Cinta Terbakar pernah dimuat naik di YouTube dan tidak sangka ia pernah digunakan sebagai nada dering telefon bimbit peminat ketika dia berada di Perlis.

“Banyak perancangan saya lakukan untuk mempopularkan lagu Cinta Terbakar ini. Lagu ini adalah ciptaan saya bersama seorang teman yang berkonsepkan balada rap.

“Jika tiada halangan saya akan bekerjasama dengan MIG Production untuk menjadikan lagu ini OST filem seram terbitan mereka.

“Saya tahu agak sukar penyanyi baru untuk saya mencipta nama, namun saya tidak akan putus asa dan berharap usaha yang dilakukan ini bersama pengurus yang banyak membantu perjalanan seni saya akan berjaya,” katanya.

Fidz berkata, dia turut pernah bekerjasama dengan DJ Fuzz namun tidak mahu terlalu mengharap bantuan orang lain, kerana baginya sebagai penyanyi dia juga perlu ada usaha sendiri untuk mempopularkan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2015 @ 5:01 AM