ERNIE yakin mampu membuat ‘showcase’ sendiri jika ada peluang. FOTO: Blackpepper Production
ERNIE yakin mampu membuat ‘showcase’ sendiri jika ada peluang. FOTO: Blackpepper Production
Sudirman Mohd Tahir


TAHUN ini genap 10 tahun pembabitan penyanyi bersuara lantang, Ernie Zakri dalam bidang seni selepas muncul juara program Bintang RTM 2009. Namun karier nyanyian Ernie, 27, atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri tidak semudah kebanyakan penyanyi baru sekarang yang boleh mencipta nama sekelip mata.

Hanya selepas lapan tahun berjuang tanpa mengenal erti putus asa, baru nama Ernie disanjung dan mendapat perhatian meluas selepas muncul juara pada program Duo Star bergandingan dengan Syamel.

Lebih hebat, kualiti vokal dimiliki Ernie meletakkan dirinya dikelas tersendiri, apatah lagi berjaya merampas gelaran Vokal Terbaik daripada Dayang Nurfaizah pada Anugerah Juara Lagu ke-32 menerusi lagu duet Aku Cinta juga bersama Syamel.

Sejak itu, Ernie berjaya mengumpul peminat tersendiri yang juga terdiri dalam kalangan penyanyi senior. Antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza, Siti Nordiana, Siti Sarah, Adibah Nor, Datuk Hattan, Hael Husaini dan ramai lagi.

Berdasarkan kualiti yang diberi, ramai beranggapan sudah sampai waktunya Ernie yang popular menerusi lagu Ku Bersuara mengadakan 'showcase' sendiri.

“Perkara ini memang termasuk dalam 'bucket list' saya dan mahu sangat buat. Saya berasakan semua penyanyi memasang impian ini. Kalau tak dapat buat persembahan berskala besar atau konsert, buat persembahan mini pun okey.

“Dulu saya tidak ada keyakinan dari segi macam mana nak kawal persembahan, penonton dan lagu. Ini kerana pemilihan lagu kena disesuaikan dengan lokasi dan penonton. Bukan main nyanyi saja.

“Jadi, apabila sudah melalui proses itu dan ada sedikit pengalaman, baru saya yakin dan terus memasang impian ke arah itu,” katanya.

Menurut Ernie, sebagai persediaan awal dia kerap pergi menonton konsert penyanyi senior bagi menimba ilmu dan mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai persembahan besar.

“Bagi saya, ia juga proses pembelajaran. Sebenarnya, setiap penyanyi kena pergi tengok artis lain yang buat konsert. Selain memberi tanda sokongan, kita boleh belajar banyak perkara. Terutama macam mana mereka berinteraksi dengan penonton dan ‘feel’ di pentas. Jadi, apabila ada pengalaman itu, kita boleh bawa ke persembahan sendiri pula.

“Insya-Allah, saya yakin boleh buat dan menjayakan 'showcase', cuma berbalik kepada rezeki. Perancangan itu pun kena rapi. Bukan main cakap saja. Tidak mahu apabila buat nanti, hasilnya biasa-biasa saja.

“Saya ambil serius soal ini dan bukan main-main. Walaupun orang sebut sekadar ‘showcase’, tapi kena ‘all out’ dan memberikan yang terbaik pada semua lagu,” katanya.

Ernie berkata, peminat sering bertanyakan bila dia akan menjayakan ‘showcase’ kerana tidak puas menyaksikannya nyanyiannya pada setiap persembahan pentas atau di kaca TV.

“Apabila saya terbabit dalam sesi beramah mesra, mesti soalan itu akan timbul. Mereka ingin sangat melihat saya ada ‘showcase’ sendiri. Jadi saya bertanya, kalau buat sudikah membeli tiket. Mereka kata ya.

“Kalau nak tahu, soal konsep dan lagu apa semua sudah ada dalam kepala. Tinggal lagi nak merealisasikannya. Insya-Allah, doakan saya,” katanya.

ERNIE dan Syamel popular dengan lagu duet sulung mereka, Aku Cinta.
ERNIE dan Syamel popular dengan lagu duet sulung mereka, Aku Cinta.

PERTARUH TAKKAN TERLERAI

Permintaan untuk Ernie dan Syamel menghasilkan lagu duet tidak pernah putus terutama selepas kejayaan lagu duet sulung mereka, Aku Cinta sejak tiga tahun lalu.

Disebabkan itu, mereka hadir dengan buah tangan terbaru Takkan Terlerai iaitu lagu ciptaan Sharon Paul, Syamel dan Ernie serta lirik oleh Fedtri Yahya, Syamel dan Ernie.

Namun, ramai beranggapan lagu itu kesinambungan daripada Aku Cinta berdasarkan melodi.

“Apabila mendengar hasil lagu ini daripada Sharon Paul, tidak menjangka ia boleh menjadi sebesar itu.

“Pada mulanya, melodi lagu ini agak ringkas. Selepas Sharon bagi kami dengar melodi, dia minta idea daripada kami untuk tambah dan mewarnakan lagi melodi. Jadi, saya dan Syamel pun menyumbangkan sedikit idea.

“Begitu juga dengan lirik yang mana kami tambah daripada nukilan asal Fedtri Yahya,” katanya.

Ernie bagaimanapun tidak ambil hati dengan setiap pandangan diberikan, sebaliknya menganggap ia sesuatu yang positif.

“Terpulang kepada persepsi peminat jika mengatakan lagu ini kesinambungan Aku Cinta. Bagi saya ia positif. Kalau nak kata ‘copy’ atau bunyi seakan sama, tidak ada masalah.

“Apatah lagi, kami berdua memahat nama menerusi lagu Aku Cinta. Itu pun tiga tahun lepas. Jadi, apa salahnya kami memberikan kembali unsur Aku Cinta dalam lagu ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 6:00 AM