LIZA Hanim
LIZA Hanim
Najiy Jefri

Memiliki kekuatan vokal yang mantap meletakkan Liza Hanim berada dalam kelas tersendiri.

Walaupun agak lama menyepi sebelum kemunculanya dalam Gegar Vaganza 4 tahun lalu, pemenang Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu ke-17 menerusi lagu Gelisah Mimpi kini mencari kembali identiti diri untuk terus kekal bertapak dalam industri muzik.

Liza berkata, kerjaya seninya kini diatur rapi syarikat pengurusan LOL Entertainment yang mahu melihat kerjaya penyanyi berusia 38 tahun ini bersinar semula.

Lebih membanggakannya, impian yang tertangguh selama dua dekad mahu direalisasikan tahun depan.

“Insya-Allah menerusi perbincangan bersama pihak pengurusan, mereka merancang mengadakan persembahan atau konsert saya tahun ini.

“Ini adalah impian yang tertangguh kerana saya memang teringin menjayakan persembahan sedemikian. Sejak bujang hingga mendirikan rumah tangga, saya tak sempat melakukannya,”katanya.

Menurut Liza, pihak pengurusannya sudah merencanakan pelbagai cara untuk memastikan sebuah konsert atau ‘showcase’ dapat diadakan.

“Jika dulu kita mengharapkan tajaan, tapi sekarang mungkin ada sesuatu yang diatur LOL Entertainment. Jika tiada aral, mungkin tahun ini.

“Saya tidak kisah untuk mengadakan ‘showcase’ atau konsert. Mana yang datang dahulu itu yang saya buat. Sudah lama rasanya saya tidak menghiburkan peminat yang selama ini setia menanti kehadiran saya dalam industri muzik.

“Tidak dinafikan, untuk mengadakan konsert memerlukan perancangan yang lebih lama dan kos juga lebih tinggi. Apa pun, saya berharap sangat dapat menjayakan ‘showcase’ dulu, apatah lagi saya juga akan muncul dengan single baru berjudul Mimpi, ciptaan Hafiz Hamidun dan lirik oleh Ahmad Fedtri Yahya,” katanya mengenai lagu yang bakal dilancarkan hujung bulan ini.

Pilih jalan cerita

Siapa sangka selain aktif dalam bidang nyanyian, Juara Bintang Penghibur HMI (1999) ini juga pernah membintangi filem KL Menjerit dan Laila Isabella.

Walaupun hanya melakonkan watak kecil, bakat lakonan Liza tidak perlu dipertikaikan terutama ketika menjayakan watak Biduanita Negara, Allahyarhamah Puan Sri Saloma menerusi teater P Ramlee The Musical pada 2008.

Ditanya, adakah masih berbekas kerinduan terhadap lakonan di jiwanya, Liza memberitahu, keterujaannya untuk terbabit dalam mana-mana produksi bergantung pada kekuatan naskhah dan watak yang diberikan.

Bagaimanapun, misinya tahun ini lebuh terarah kepada usaha mengembalikan namanya dalam industri seni suara.

“Jika ada tawaran berlakon, saya kena pilih jalan cerita dan lokasi penggambarannya. Zaman muda dulu bolehlah nak keluar dari Kuala Lumpur, tapi sejak bergelar ibu saya susah nak tinggalkan anak-anak.

“Selain itu, watak yang ingin ditawarkan juga perlu sesuai dengan imej saya. Biarlah memberi motivasi kepada kaum hawa dan memberi mesej positif kepada anak remaja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2018 @ 2:18 AM