ABDUL Manab (kiri) bersama Unit Forensik memproses  kereta suspek.FOTO DJ Dolasoh
ABDUL Manab (kiri) bersama Unit Forensik memproses kereta suspek.FOTO DJ Dolasoh
Oleh D J Dolasoh

Gerik: Seorang lelaki warga Thailand berusia 20-an disyaki pengedar dadah maut manakala rakannya lewat 20-an ditahan selepas kereta dinaiki mereka terbabas dipercayai ketika lari dari kereta peronda polis, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 3.45 pagi di Kilometer 20, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli itu, kereta suspek dari arah Kelantan secara tiba-tiba membuat pusingan U selepas ternampak kereta peronda polis yang berada di tepi jalan di Kilometer 9 kerana menunggu satu kes kecurian kabel.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Manab Baharum berkata, kedua-dua suspek kemudian memecut laju kereta sehingga sejauh 11 kilometer kerana bimbang ditahan.

"Bagaimanapun, ketika tiba di satu selekoh di sebelah kanan, pemandunya gagal mengawal kenderaan menyebabkan terus terbabas ke sebelah kiri jalan.

"Kereta suspek terbalik ke dalam semak beberapa kali dan tercabut tayar depan sebelah kiri menyebabkan pemandunya tercampak keluar dan mati di tempat kejadian," katanya ditemui di tempat kejadian, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2015 @ 2:09 PM