Keadaan kereta Honda City yang merempuh penghadang jalan di KM 71.3 JRTB Gerik-Jeli menyebabkan pemandunya maut. Foto ihsan bomba
Keadaan kereta Honda City yang merempuh penghadang jalan di KM 71.3 JRTB Gerik-Jeli menyebabkan pemandunya maut. Foto ihsan bomba
D J Dolasoh


Lelaki maut, isterinya cedera selepas kereta yang dinaiki hilang kawalan lalu merempuh penghadang jalan di depan terowong di Kilometer 71.3 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli dekat Gerik, hari ini.

Dalam kejadian 11.15 pagi, pemandu kereta yang maut dikenal pasti sebagai Muhammad Hanif Zulhilmi Che Md Jusoh, 25, beralamat di Nombor 59, Jalan 11 Felcra Teratak Batu Pasir Puteh, Kelantan.

Isterinya yang cedera pula, Nor Anis Azmee, 25, dari Limbat, Kota Bharu yang juga jururawat di Hospital Pulau Pinang..

Muhammad Hanif yang bekerja sebagai juruteknik kilang memandu kereta Honda City dari arah Gerik ke Jeli.

Ketua Polis Daerah Gerik Superintendan Ismail Che Isa berkata, ketika tiba di depan terowong itu, kereta mangsa dipercayai mengelak kenderaan lain sebelum terbabas ke kiri jalan.

“Keadaan itu menyebabkan kereta mangsa merempuh penghadang jalan di sebelah kiri sebelum terbalik di luar terowong itu.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya cedera dan dirawat di Hospital Jeli” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 9:41 PM