Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Gerik: Aliran trafik berdekatan Kilometer (KM) 65 Jalan Gerik-Jeli di Jalan Raya Timur-Barat di sini, yang terhenti selama dua jam mengakibatkan kesesakan lalu-lintas kira-kira lima kilometer, petang kelmarin berpunca daripada kerja pengalihan lori terbabas yang dilakukan sendiri tanpa dimaklumkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, lori muatan baja yang dipandu lelaki berumur 40 tahun berkenaan pada mulanya dilaporkan terbabas di bahu jalan tanpa menghalang laluan kedua-dua hala jam 3.30 pagi Jumaat lalu kerana dikatakan mengelak gajah sedang melintas jalan.

Beliau berkata, kira-kira jam 4 petang hari sama, kerja mengalihkan lori terbabit dilakukan oleh trak tunda tanpa terlebih dulu melaporkan insiden berkenaan kepada polis, menyebabkan kedua-dua hala jalan ditutup sepenuhnya sehingga jam 6 petang.

Katanya, laporan berkenaan insiden kemalangan itu yang dibuat pemandu lori terbabit hanya diterima polis pada petang semalam.

"Mereka tidak melaporkan kemalangan kepada polis sejurus kejadian itu, sebaliknya menguruskan sendiri dengan memanggil khidmat trak tunda bermula jam 4 hingga 6 petang Jumaat lalu sebelum melaporkan kepada polis pada petang semalam.

"Disebabkan itu trafik terhenti sepenuhnya selama dua jam, mungkin kerana kumpulan yang terbabit dalam kerja pembersihan itu gagal mengawasi lalu-lintas dengan cara sepatutnya sehingga perlu menutup kedua-dua hala jalan.

"Sekiranya polis dimaklumkan awal mengenainya, mungkin langkah sepatutnya boleh diambil sepanjang kerja pengalihan itu dengan hanya menutup satu hala jalan bagi memastikan trafik masih bergerak biarpun perlahan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Zulkifli berkata, susulan itu semua pengguna jalan raya diminta agar segera menyalurkan maklumat kepada polis mengenai sebarang kemalangan bagi membolehkan polis membantu kurangkan kesesakan.

Katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden lori terbabas itu dengan kes diklasifikasikan mengikut Rule 10 LN 166/59.

Terdahulu, tular video memaparkan aliran trafik terhenti sepenuhnya dari Jeli, Kelantan menuju Kedah sehingga kelihatan ramai pengguna jalan raya keluar dari kenderaan masing-masing sewaktu di tengah jalan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2022 @ 12:24 PM