IPOH: Empangan di Perak mampu membekalkan air untuk kegunaan domestik di seluruh negeri bagi tempoh tiga hingga enam bulan meskipun dilanda cuaca panas dan kemarau.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, berdasarkan laporan daripada Pengurus Besar Lembaga Air Perak, Datuk Ir Mohd Yusof Mohd Isa, tiada pengurangan air yang drastik, sebaliknya berada pada tahap tidak membimbangkan.

Beliau berkata, buat masa ini, Empangan Air Kuning dan Empangan Sultan Azlan Shah berada di paras maksimum dan aliran sungai masih mencukupi untuk bekalan kepada pengguna.

"Selain itu, masih terdapat hujan di kawasan tadahan. Keadaan lebih baik dari tahun lepas dan bekalan air di negeri Perak dijangka terkawal," katanya.

Pada tahun lalu, catuan air terpaksa dilakukan di Taiping selama kira-kira dua minggu ekoran kemarau panjang yang menjejaskan pengeluaran air di Loji Taiping Headworks.

Zainol Fadzi berkata, antara punca catuan adalah paras air rendah yang dicatat di Empangan Air Kuning.

Bagaimanapun, katanya, masalah itu dapat diatasi kerana Taiping dan Kamunting kini mendapat tambahan bekalan air selepas projek Loji Semanggol siap pada hujung tahun lalu.

Beliau berkata, Empangan Sultan Azlan Shah mempunyai lebihan takungan dan boleh bertahan enam bulan tanpa hujan untuk bekalan di sekitar Hulu Kinta.

"Ini adalah empangan yang paling banyak membekalkan air kepada pengguna kerana terdapat kira-kira 800,000 akaun. Bagaimanapun, hanya 70 peratus digunakan," katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2015 @ 10:10 AM