Paras air di beberapa empangan di Perak masih ditahap normal walau cuaca panas. FOTO NSTP
Paras air di beberapa empangan di Perak masih ditahap normal walau cuaca panas. FOTO NSTP
Muhammad Apendy Issahak


CUACA panas yang melanda beberapa daerah di Perak yang dilaporkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) setakat ini tidak menjejaskan paras air di beberapa empangan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari, berkata laporan diterima pihaknya mendapati keadaan paras air di empangan masih dalam tahap normal.

Menurutnya, Empangan Air Kuning, Taiping dan Empangan Sultan Azlan Shah, Ipoh yang di bawah kendalian Lembaga Air Perak (LAP) tidak menunjukan perubahan yang membimbangkan.

“Buat masa kini paras empangan LAP iaitu Empangan Air Kuning dan Empangan Sultan Azlan Shah berada paras normal.

“Paras Empangan Air Kuning di tahap maksima iaitu 42.52 meter dan paras Empangan Sultan Azlan shah adalah 243.52 meter berbanding paras penuh 245 meter atau 92 peratus simpanan takungan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdul Yunus berkata, bagi Empangan Bukit Merah kendalian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak pula, laporan terkini menunjukkan status semasa kolam tadahan air itu adalah di paras 9.02 meter yang berada dalam zon aras amaran banjir.

Menurutnya, bekalan air melalui empangan-empangan kendalian Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sepanjang lembangan Sungai Perak juga masih mencukupi buat masa ini.

“Namun jika musim kemarau berlarutan hingga ke akhir tahun, pelan tindakan kontigensi perlu dilaksanakan untuk memastikan air terus dapat disalurkan sepanjang aliran Sungai Perak sekurang-kurangnya pada tahap yang paling optimum.

“Semua pengguna juga dinasihatkan untuk menggunakan air secara berhemah dan elakkan sebarang pembaziran terutama sekali semasa musim kemarau sekarang.

“Kerjasama juga diminta untuk melapor kejadian paip bocor kepada talian bebas tol 1800887788 atau Facebook Lembaga Air Perak dan email [email protected],” katanya.

Sebelum ini MetMalaysia melaporkan Chuping (Perlis), Kubang Pasu, Kota Setar, Sik (Kedah), Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta (Perak) serta Maran (Pahang), Kepong (Kuala Lumpur) dan Muar (Johor) mengalami gelombang haba dengan suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 celcius.

Kemas kini status gelombang haba yang dimuat naik di laman web rasmi jabatan berkenaan pada jam 4.45 petang tadi hanya tiga daerah yang masih ditahap berjaga-jaga iaitu Kinta, Hulu Selangor dan Kepong.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 10:31 PM