WAN Muhammad Nasharizal (dalam but kereta) membahagikan barangan kepada penduduk kampung.
WAN Muhammad Nasharizal (dalam but kereta) membahagikan barangan kepada penduduk kampung.

“Banyak perkara dan pengajaran sepanjang misi bantuan mangsa banjir yang saya sertai kali ini. Ia membabitkan kemanusiaan, hubungan dengan alam, sesama manusia juga kerohanian.

“Semua yang terbabit tidak ada kena mengena dengan mangsa banjir tetapi tetap hadir membantu atas tiket kemanusiaan demi mereka yang memerlukan.

“Dari sudut kerohanian, fenomena banjir di Kelantan itu membawa makna yang mendalam mengenai kebesaran Allah SWT. Ia turut menuntut saya muhasabah diri mengenai betapa kerdilnya kita berhadapan dengan kuasa Allah SWT,” kata bekas pelakon dan model, Nabila Shila Lama Abdullah, yang juga sukarelawan terbabit dalam program Unsung Heroes baru-baru ini.

Dia akui kagum dengan ketabahan dan kesabaran mangsa banjir berkenaan. Walaupun rumah musnah dan kehidupan berubah sekelip mata, mereka masih mampu tersenyum dan menjalani kehidupan dengan bersemangat.

“Bayangkan tidur dalam khemah berhimpit-himpit, makan minum tak menentu dan persekitaran kurang bersih, mereka tidak mengeluh. Kanak-kanak yang mungkin masih trauma, tetap girang dan bersemangat. Itulah yang mengikat hati dan meruntun jiwa untuk kembali lagi menemui golongan ini. Inilah kepuasan jiwa yang tidak mungkin boleh dikecapi di mana-mana,” katanya.

Lebih dikenali sebagai Shila Lama, dia memulakan kerja amal sejak 80an lagi apabila terbabit dengan golongan pelarian Vietnam di Sungai Besi.

“Kami berniaga dalam kem pelarian Vietnam itu. Walaupun ketika itu bukan menjadi sukarelawan, melihat bagaimana penyediaan bantuan kemanusiaan disediakan kerajaan untuk pelarian terbabit termasuk kebajikan, tempat tinggal dan pendidikan, mencetuskan keinginan untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya yang sejak itu melakukan kerja sukarela dalam kadar kecil tetapi berterusan.

Wan Muhammad Nasharizal Wan Nazlan, 35, memang tidak serik menyertai misi bantuan mangsa banjir meskipun tahu risiko apabila kenderaan pacuan empat rodanya harus meneroka permukaan jalan yang tidak begitu elok ketika misi berkenaan.

“Satu ketika, rim tayar saya pecah sewaktu perjalanan dari Gua Musang ke Kuala Krai tetapi saya anggap itu asam garam apabila melakukan misi sebegini.

“Kawan-kawan kata ketika itu saya hanya tersenyum semasa rim pecah. Hakikatnya, kita harus reda dengan ujian yang amat kecil ini sedangkan orang lain hidup dalam keadaan lebih susah daripada kita yang sekadar mengalami kesusahan yang sangat sedikit itu,” kata anak sulung enam beradik ini yang mula terbabit dalam kerja amal sejak 2012 ketika kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands.

Pada 2013, dia yang mengetuai kumpulan kenderaan pacuan empat roda Terjah, turut bergelar sukarelawan di masjid dan sekolah pondok selepas banjir besar melanda Kuantan ketika itu.

Dari Tol Skudai, Shahril Md Yassin, 36, tanpa sebarang perancangan dan hanya sehelai sepinggang mengikut temannya itu menghantar barangan untuk mangsa banjir.

Dia memang tidak me–nyangka ajakan temannya, Wan Muhammad Nasharizal Wan Nazlan membawa dirinya ke Kemaman, Terengganu sekali gus terbabit dalam kerja sukarela membantu mangsa banjir.

“Bagi saya, apabila melakukan kerja sebegini, tak perlu terlalu memikirkan sesuatu dengan begitu mendalam, ikut saja rentaknya dan insya-Allah segalanya berjalan lancar.

“Suatu ketika, saya bersembang dengan rakan dan menyatakan hasrat untuk membuat kerja amal sebegini apabila turun dari kapal nanti. Mungkin ada yang tak percaya tapi alhamdulillah, sebaik berada di daratan, peluang untuk menyertai kerja amal ini menanti di depan mata,” kata–nya yang bertugas sebagai penyelam bebas membabit–kan kerja menyelamat di laut.

Bagi Shahril yang sudah enam kali manakala Nasharizal pula sembilan kali menyertai misi membantu mangsa banjir termasuk penyertaan mereka pada program Unsung Hereos berkenaan, segala pengalaman yang dikutip itu ternyata sesuatu yang tiada galang gantinya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 9:52 AM