CHAZALI (kanan) menyerahkan barangan keperluan rumah kepada penduduk kampung di Kuala Sungai, Gua Musang.
CHAZALI (kanan) menyerahkan barangan keperluan rumah kepada penduduk kampung di Kuala Sungai, Gua Musang.
HAIKAL Bay meredah lumpur ketika misi bantuan mangsa banjir di Kemubu, Kelantan.
HAIKAL Bay meredah lumpur ketika misi bantuan mangsa banjir di Kemubu, Kelantan.
BERSAMA rakan sukarelawan menyerahkan sumbangan kepada sekolah anak Orang Asli di Kuala Lah.
BERSAMA rakan sukarelawan menyerahkan sumbangan kepada sekolah anak Orang Asli di Kuala Lah.
HAIKAL (depan) bersama sukarelawan sertai misi bantuan mangsa banjir.
HAIKAL (depan) bersama sukarelawan sertai misi bantuan mangsa banjir.
Oleh Rahayu Mohd Salleh


Wajahnya selamba menjamah burger yang usianya sudah lebih 12 jam itu. Katanya, selagi makanan itu masih elok, apa salahnya buat mengisi perut.

Ada ketikanya, kelaparan sudah menjadi perkara biasa tatkala sibuk meneroka ceruk kampung menghantar barangan keperluan kepada mangsa banjir, juga meredah pemanduan di kawasan terpencil yang begitu mencabar terutama ketika banjir besar di Kelantan mulai surut akhir Disember lalu.

Sambil sebelah tangannya mengemudi stereng kenderaan pacuan empat roda (4x4) itu dan sebelah lagi menyuap makanan, juga silih berganti memegang handy, rancak mulutnya berceloteh di radio amatur sesama rakan pemandu yang lain. Gurau senda jadi mainan sepanjang perjalanan dan ia ternyata menghiburkan hinggakan keletihan seolah-olah tidak terasa.

Rencah kehidupan sebegitu sudah menjadi sebahagian daripada rutin Chazali Zainal, 38, yang sehingga kini menyertai berbelas-belas misi bantuan banjir ke Kelantan dan Terengganu khususnya membabitkan kawasan terpencil yang sukar dilalui kenderaan biasa.

Memiliki kenderaan pacuan empat roda memang satu kelebihan apabila berhadapan dengan situasi sedemikian. Tanah berselut tebal misalnya, memang mainan kenderaan sebegini lantas kenderaan 4x4 lebih sesuai meredah air banjir, tanah berselut juga kawasan terpencil atau berbukit yang sedia menanti dengan cabaran lasaknya itu.

Lantas tidak hairan jika sukarelawan seperti Chazali antara kelompok sukarelawan pertama yang menatap seribu macam kemusnahan harta benda juga kepayahan mangsa banjir yang harus meneruskan kehidupan dalam persekitaran yang serba-serbi amat kekurangan.

Bermula daripada misi pertamanya pada 26 Disember 2014 ke Kemaman, Terengganu, misi bantuan mangsa banjir Chazali seterusnya tertumpu kepada pelbagai kawasan sekitar Kelantan khususnya di kawasan terpencil yang sukar dilalui kenderaan biasa.

Misi pertamanya ke Kelantan bersama Kelab Kembara 4x4 Selangor (SAC) pada 28 Disember lalu membawanya berkampung di kawasan Dabong dan Kemubu dengan berpusat di Masjid Sungai Sam. Masjid itu sendiri tenggelam hingga ke paras bumbung.

Bersama sukarelawan lain dalam misi berkenaan yang membabitkan 80 kenderaan 4x4, treler 40 kaki juga tiga lori muatan tiga tan, mereka membersihkan masjid yang dipenuhi lumpur itu selain mengagihkan barangan keperluan berupa makanan, tilam, bantal serta pakaian kepada penduduk setempat.

“Waktu mula menjejakkan kaki ke kawasan yang dilanda banjir besar ini, segalanya menyentuh perasaan terutama sewaktu menyerahkan barang makanan kepada mangsa banjir.

“Bayangkan ketika itu, penduduk Kampung Bertam Lama menunggu 11 hari untuk mendapatkan makanan. Di kawasan ini, seingat saya ada kira-kira empat atau lima rumah yang beralih kedudukannya ke tengah jalan. Suasana persekitaran begitu berbeza dan apabila rumah beralih, ia juga menyukarkan kenderaan untuk bergerak, namun misi bantuan tetap menjadi keutamaan.

“Ada juga rumah yang tenggelam, juga jalan terputus yang tentunya menyukarkan keadaan penduduk kampung untuk mendapatkan bantuan.

“Ketika mula meneroka Dabong pun, kami tidak begitu pasti mengenai jalan yang boleh dilalui, tetapi kami redah saja. Jika bertemu dengan jalan yang kelihatan selamat, itulah yang kami lalui,” katanya yang juga salah seorang sukarelawan menyertai program Unsung Heroes pada pertengahan Februari lalu.

Tidak hairan selesai saja satu-satu misi, sama seperti rata-rata pemilik kenderaan 4x4 yang lain, kenderaan 4x4 miliknya itu harus dihantar untuk servis.

“Kerosakan kecil atau besar itu perkara biasa apabila terbabit dengan pemanduan sebegini. Secara peribadi saya sudah biasa ‘main hutan’, jadi sudah bersedia secara mental untuk berhadapan dengan kenderaan rosak.

“Begitu juga apabila terbabit dengan misi bantuan mangsa banjir kerana kerosakan memang biasa berlaku. Apapun, baik kerosakan kenderaan mahupun rutin seharian yang begitu padat, semuanya sangat berbaloi buat kami. Pengalaman dan kepuasan melakukan kerja amal sebegini sememangnya sesuatu yang tiada tandingannya,” kata bapa dua cahaya mata yang mengusahakan perniagaan sendiri di Johor Bahru, Johor ini.

Dia sebenarnya bukan asing dalam kerja sukarela kerana turut menyertai kumpulan Geng Rentas yang menghantar barangan keperluan ke kawasan Ulu Tembeling, Pahang saban tahun selain menyertai kerja sukarela bersama Orang Asli.

Sertai misi selepas miliki kenderaan 4x4

Rakannya, Haikal Bay Bahrumsyah, 33, menyifatkan pengalaman menyaksikan sendiri suasana persekitaran sebaik banjir surut di Kelantan pada akhir tahun lalu begitu meruntun hatinya.

“Tak tahu bagaimana mahu menggambarkan rasa apabila melihat rumah yang hancur di depan mata. Ada juga mangsa misalnya penduduk di Kampung Limau Kasturi, Gua Musang yang terpaksa tinggal di tepi jalan saja, juga mereka yang harus melelapkan mata di dalam tren kereta api.

“Semuanya begitu terkesan apatah lagi salah seorang mangsa banjir itu rakan saya sendiri yang rumahnya hanya tinggal tangga batu.

“Hati manalah yang tak sedih tapi alhamdulillah, sekarang kerajaan membina dua rumah di kawasan tanahnya dengan keluasan 800 kaki persegi untuk setiap rumah,” kata sukarelawan yang mengikuti sembilan misi bantuan mangsa banjir sejak 27 Disember lalu dan terkini, pada 14 Februari juga sewaktu misi Unsung Heroes.

Duta Truckers Brotherhood Forever (TBF) yang berasal dari Batu Pahat, Johor dan kini bermastautin di ibu kota ini baru musim ini mengikuti misi sebegini namun hasratnya sudah dipendam sejak tahun lalu lagi.

“Tahun lalu saya sudah punya niat untuk menyertai misi membantu mereka yang memerlukan, tetapi ketika itu saya belum memiliki kenderaan pacuan empat roda. Saya tahu kenderaan ini akan memudahkan urusan misi sebegini.

“Jadi apabila kenderaan sudah ada di tangan, tertunailah hasrat saya untuk turut membantu golongan ini,” katanya.

Bapa tiga cahaya mata berusia antara lapan hingga 13 tahun ini juga akui, komitmen terhadap misi ternyata menuntut pengorbanan keluarga terutama anak-anak yang sering merindui dan bertanyakan si ayah yang jarang bersama di hujung minggu.

Satu-satu misi mungkin hanya mengambil masa dua atau tiga hari terutama di hujung minggu. Namun, bagi anak isteri, tentunya masa sebegitu cukup dinanti untuk melakukan pelbagai aktiviti seisi keluarga.

“Anak bongsu pernah juga menangis tak benarkan saya pergi dan yang besar pula hendak mengikut misi. Melihat air mata anak, siapalah yang tak sedih tapi saya beri semangat pada anak-anak bahawa apa yang saya lakukan ini untuk membantu orang susah supaya apabila besar kelak, mereka juga dapat memberi sumbangan kepada masyarakat,” katanya.

TBF adalah sebahagian daripada SAC, Kuala Selangor 4x4 dan Serendah 4x4 yang bernaung di bawah nama Bloodbrothers Forever yang menyertai program Unsung Heroes Februari lalu. Program terbabit antara lain menghimpunkan kira-kira 100 kenderaan serta ratusan sukarelawan daripada pelbagai kumpulan yang selama ini mengunjungi negeri yang dilanda banjir untuk menghulur pelbagai bentuk sumbangan tanpa penat dan jemu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2015 @ 11:35 AM